Thursday, June 01, 2006

Memilih Watak Utama: Prinsip Surah Yusuf

Dalam teori klasik novel, watak putih adalah watak utama, watak hero, watak baik, watak yang ideal. Watak hitam adalah watak yang memiliki sifat-sifat negatif, yang berfungsi sebagai watak anti-hero.


Dalam novel 'Siti Noerbaya' karya Marah Roesli, Siti Noerbaya adalah watak putih, manakala Datuk Maringgih adalah watak hitam. Dalam novel 'Salah Asoehan' karya Abdoel Moeis, Corrie dan Rapiah adalah watak putih manakala Hanafi adalah watak hitam.


Dalam arus perkembangan teori novel Barat, pandangan yang mengatakan watak utama seharusnya watak putih itu kemudian dianggap tidak sesuai lagi. Justeru watak-watak yang tidak ideal boleh dijadikan watak utama. Pandangan ini kemudian turut dianuti oleh karyawan tempatan.


Dalam novel 'Salina' karya A Samad Said, Salina adalah seorang peremuan 'P'. Para pengkritik sastera mengatakan Salina adalah watak putih, meskipun kerjayanya adalah sebagai seorang 'P', sejak mula sehingga akhir novel itu, Salina tidak pernah berhenti daripada kerjayanya sebagai perempuan 'P' itu.


Pengkritik mengatakan Salina adalah watak putih kerana dia terpaksa, disebabkan dia adalah mangsa Perang Dunia II, dan dia adalah mangsa kepada kejahatan Abdul Fakar, manakala pada waktu yang sama dia banyak membantu persekolahan Helmy.


Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf adalah seorang watak putih. Beliau adalah watak utama, watak hero, watak manusia ideal yang sempurna. Justeru, teori sastera Islami tidak menerima watak hitam dijadikan sebagai watak utama dalam novel.


Berdasarkan kedudukan Siti Zulaikha, abang-abang Nabi Yusuf dan al-Aziz, kedudukan watak hitam adalah amat jelas dalam teori sastera Islami, iaitu sebagai watak-watak pembantu.


Jadi, teori sastera Islami tidak menerima pezalim, penyamun, perasuah, pezina, pemurtad, pejudi, penipu, pemabuk, penghibur, periba', dan lain-lain watak yang hidupnya bergelumang dalam dosa-dosa besar, yang tidak balik ke pangkal jalan sehingga tamat cerita, yang diangkat menjadi watak utama.


Sastera Islami menolak karya-karya yang memberikan kemenangan moral kepada para pedosa besar.