Plot Dalam Dialog: Prinsip Surah Yusuf
Daripada 111 ayat dalam surah Yusuf, 86 ayat mengandungi dialog, yakni sekitar 74 % daripada seluruh teks. Ini adalah peratusan yang amat tinggi.
Justeru, dalam teori sastera Islami, jumlah dialog yang banyak adalah ciri keindahan. Karya yang tidak menggunakan banyak dialog adalah tidak selaras dengan stail penceritaan surah Yusuf.
Fungsi dialog yang dominan dalam surah Yusuf adalah di mana dialog mengandungi maklumat perkembangan plot cerita. Bagi saudara yang belum biasa dengan istilah 'plot', plot adalah jalan cerita.
Perhatikan bagaimana dialog-dialog di bawah ini menerangkan jalan cerita mengapa dan bagaimana Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya:
Ayat 4. Tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, tunduk memberi hormat kepada anakanda.”
Ayat 5. Bapanya berkata, “Wahai anakanda, jangan engkau ceritakan mimpimu kepada abang-abangmu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
Ayat 8 & 9. Tatkala abang-abang Nabi Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu keturunan. Sesungguhnya bapa kita sangat tidak adil. Bunuhlah Yusuf ataupun buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa tertumpu kepada kita semata-mata, dan supaya kita sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna kepadanya.”
Ayat 10. Salah seorang daripada abang-abangnya berkata, “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya dia dipungut oleh musafir, kalau kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.”
Ayat 11 & 12. Mereka pun (pergi berjumpa bapa mereka lalu) berkata, “Wahai ayahanda! Mengapa ayahanda tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal kami sentiasa ikhlas mengambil berat ke atasnya? Biarkanlah dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”
Ayat 13. Bapa mereka menjawab, “Pemergian kamu dengan membawanya sangatlah menyedihkanku, dan aku bimbang dia dimakan oleh serigala ketika kamu lalai menjaganya.”
Ayat 17. Mereka berkata, “Wahai ayahanda! Percayalah, kami pergi berlumba-lumba berburu dan kami tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala, sudah tentu ayah tidak percaya kepada kata-kata kami, sekalipun kami berkata benar.”
Justeru, apabila saudara mengarang cerita ataupun novel Islami, perbanyakkan ayat-ayat yang di dalamnya terkandung dialog. Dan dalam dialog itulah saudara sampaikan maklumat tentang perkembangan cerita.

0 Komen:
Post a Comment
<< Home