Tingkah Laku Berdusta dalam Surah Yusuf
Dalam penulisan novel, salah satu aspek yang sering kali tidak dilakukan dengan meyakinkan adalah pelukisan watak-watak. Maksudnya, keterangan tentang tingkah laku dan dialog watak-watak tidak dilakukan dengan berdasarkan ilmu psikologi.
Ambil sebagai contoh dalam kes watak pendusta. Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar psikologi mendapati perbuatan berdusta diiringi oleh tanda-tanda (traits) yang jelas. Tetapi, dalam novel-novel Melayu, penerangan tentang traits seperti itu tidak dilakukan oleh majoriti penulis kita, biarpun dalam karya-karya yang dilabelkan sebagai bermutu 'sastera'.
Perbuatan berdusta dapat dikesan dengan menganalisis body language atau 'bahasa badan' yang mengiringi dialog. Tingkah laku adalah termasuk dalam body language.
Daripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengesan apakah dia berlakon ataupun tidak. Salah satu tingkah laku orang yang berdusta adalah mengemukakan apa yang disebut unsolicited information ataupun 'maklumat yang tidak diminta'.
Sebagai contoh, seseorang itu tidak diarahkan supaya bersumpah, tetapi dia dengan tidak semena-mena, tanpa diminta oleh sesiapa, maka dia tiba-tiba bersumpah mengaku bahawa apa yang dikatakannya adalah benar.
Dalam surah Yusuf, tingkah laku seperti ini dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf kepada ayah mereka, Nabi Yaakub. Ayat ke-17 dalam surah Yusuf: "....mengapakah ayahanda tidak percaya kepada kami, meskipun kami berkata benar."
Ayah Nabi Yusuf tidak pun menuduh anak-anaknya berdusta apabila mereka melaporkan kononnya Nabi Yusuf telah dibunuh oleh serigala, tetapi mereka sendiri yang bersumpah kononnya mereka berkata benar.
Satu lagi tingkah laku orang yang berdusta adalah apabila dia melakukan kesalahan, dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu.
Dalam surah Yusuf, tingkah laku menuduh orang lain dilakukan oleh Zulaikha. Dia yang cuba menggoda dengan memperdaya Nabi Yusuf supaya masuk ke dalam kamarnya, tetapi apabila kedapatan oleh suaminya, Zulaikha menuduh Nabi Yusuf dengan mengatakan Nabi Yusuflah yang telah cuba menggoda dirinya dengan mencoroboh masuk dan ke dalam kamarnya.
Ayat ke-25 dalam surah Yusuf: "....perempuan itu berkata kepada suaminya, 'Apakah balasan bagi orang yang hendak berbuat jahat dengan isteri kekanda?'....
........
Nota 1: Tingkah laku bersumpah tanpa diminta dilakukan oleh seorang tokoh politik yang sekarang sedang dikaitkan dengan pembunuhan seorang wanita jelita warga Mongolia.
Nota 2: Tingkah laku menuduh orang lain ini telah dilakukan oleh seorang tokoh politik yang namanya disebut dalam suatu akuan bersumpah oleh seorang bekas polis dan penyiasat peribadi di mana bekas polis itu mendakwa tokoh politik itu kenal dengan perempuan yang dibunuh itu, dan bahawa perempuan itu mengamalkan seks liwat. Tokoh politik itu pula mempunyai hubungan rapat dengan seorang remaja yang menuduh Anwar Ibrahim melakukan liwat ke atas dirinya.

0 Komen:
Post a Comment
<< Home