Tuesday, December 01, 2020

Disclaimer

Apabila saudara membaca blog ini, ambil ingatan bahawa saya tidak tahu bahasa Arab dan saya bukan lulusan fakulti Islam. Saya juga tidak melakukan tafsiran. Saya hanya melakukan analisis struktural. Terima kasih.

Dalam menjalankan analisis ke atas struktur Surah Yusuf, rujukan saya adalah:

Al-Qur'an dan Tafsirnya, Universitas Islam Indonesia, Jakarta, 1990.

Al-Qur'anu'L-Karim Terjemahan dan Huraian Maksud, Maulana Abdullah Yusuf Ali, terjemahan oleh Muhammad Uthman El-Muhammady, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1999.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, Mushaf Malaysia Rasm Uthman, Darulfikir, Kuala Lumpur.

Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Yayasan Restu, Shah Alam, 2005.

Tafsir Quran Karim, Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, PT Hidakarya Agung, Djakarta, 1973.

Study of the Noble Qur'an Word-For-Word, compiled by Darussalam, Riyadh, 2000.

The Holy Qur'an Translation and Commentary, A. Yusuf Ali, Islamic Propagation Centre International, 1934.

The Qur'an Translation and Commentary, TB Irving (Al-Hajj Ta'lim Ali), Omar Brothers Publications Pte Ltd, Singapore, 1992

English Translation of the Meaning of Al-Qur'an Guidance for Mankind, Muhammad Farooq-i-Azam Malik, The Institute of Islamic Knowledge, Texas, USA, 1997.

The Massage of the Qur'an, Translated and Explained by Muhammad Asad, Dar Al-Andalus, Gibraltar, 1980.




Mengapa Hanya Surah Yusuf

Salah satu kritikan yang saya terima daripada beberapa penulis fiksyen yang skeptikal tentang kelebihan-kelebihan teori dan teknik surah Yusuf dan aplikasinya buat menghasilkan karya sastera Islami adalah: Mengapa tidak dikaji seluruh ayat-ayat al-Quran? Mengapa setakat mengkaji surah Yusuf sahaja?

Beginilah respons saya: Fokus kajian saya adalah surah Yusuf. Bekerja dengan mempunyai fokus yang spesifik adalah amat penting kepada produktiviti. Masih banyak lagi unsur-unsur sastera pada surah Yusuf yang belum dapat saya kaji disebabkan keterbatasan pengetahuan saya dalam ilmu-ilmu al-Quran.

Bahagian-bahagian yang sudah saya fikirkan, renungkan, analisiskan, dan tuliskan hasil kajian itu pun mengambil masa lebih 20 tahun baru saya berani mengetengahkannya.

Jadi, saya tidak berupaya hendak mengkaji seluruh al-Quran. Saya berpegang kepada prinsip seperti yang dikatakan oleh Imam Shafie: "Kalau tidak dapat buat semua, jangan tidak dibuat semua."

Kepada mereka yang mengkritik saya, lebihlah efisien apabila antara kita berbahagi-bahagi kerja. Masing-masing memberi sumbangan masing-masing buat membangunkan dan memajukan penghasilan sastera Islami, baik dari sudut penciptaan teori-teorinya, analisis teknik-tekniknya, kritikannya, apatah lagi penghasilan karya kreatifnya.

Bagi pihak diri saya sendiri, biarlah saya kaji surah Yusuf, pihak-pihak lain pula kajilah surah-surah lain.

.

Teori dan Teknik Surah Yusuf adalah Mazhab Rasmi PTS

Bagi pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan yang pertama kali membaca blog ini, PTS mengadakan bengkel surah Yusuf bagi semua penulis kreatif yang berminat menerbitkan karya mereka dengan PTS.

Bengkel diberikan secara percuma.

Notis tentang tarikh bengkel disiarkan dari waktu ke waktu di http://universitipts.com


.

Surah Yusuf Mazhab Rasmi PTS

Pengumuman Rasmi!

Selepas beberapa lama menjalankan analisis ke atas surah Yusuf dan membincangkan serta melakukan pelbagai ujian aplikasinya dalam aktiviti penulisan karya kreatif, kita berpuas hati surah Yusuf dapat dijadikan asas bagi teori sastera Islami.

Dengan mengangkat surah Yusuf menjadi teori rasmi sastera Islami PTS, ini bermakna PTS hanya menerbitkan karya-karya kreatif yang mematuhi prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang terdapat dalam surah Yusuf.

Genre karya-karya kreatif yang tertakluk di bawah dasar ini adalah novel dewasa, novel remaja, novel agama, fiksyen sains, fiksyen sejarah, cerita rakyat, cerita kontot, storyboard, skrip komik, ilustrasi kulit luar, ilustrasi dalam buku, dan lukisan komik.