Thursday, January 01, 2009

Hukum Menghasilkan dan Menerbitkan Karya Komik

Bagi saudara yang akan menghasilkan karya dalam bentuk lukisan, sebelum kita bercakap tentang karya komik Islami, kita perlu menyelesaikan lebih dahulu persoalan apakah hukum melukis komik.

Kedudukan senilukisan dalam Islam adalah sama kontroversinya dengan senimuzik dan senilakon. Terdapat dua kubu pendapat. Satu kubu mengatakan seni lukisan itu tidak boleh, manakala kubu yang satu lagi mengatakan boleh.

Dalam surah Yusuf tidak ada unsur lukisan. Tetapi ada suatu hadis yang menarik.

Kita petik hadis nombor 575 dalam koleksi Riadhus Salihin, susunan Imam Nawawi yang bermaksud: Ibnu Masud berkata, "Nabi Muhammad melukis rajah empat segi. Kemudian, di tengah-tengah segiempat itu beliau melukis suatu garisan panjang yang sampai terkeluar dari segiempat itu. Kemudian beliau melukis garis-garis pendek di bawah garis tengah itu. Selepas itu Nabi Muhammad berkata (bagi menerangkan makna lukisannya itu), 'Garis ini adalah manusia. Garis ini adalah ajalnya. Garis yang terkeluar ini adalah angan-angannya. Garis-garis pendek ini adalah perkara-perkara duniawi yang diterimanya. Jikalau dia terhindar daripada bencana yang ini, dia akan ditimpa oleh bencana yang ini pula. Jikalau dia terlepas daripada bencana yang ini, dia tentu tidak terlepas daripada bencana yang ini pula.'"

Disebabkan hadis ini autoritatif, maka kita berpendapat bahawa Nabi Muhammad bukan hanya menyampaikan mesej Islam dengan menggunakan 'verbal communication' (komunikasi lisan) tetapi beliau pernah menggunakan apa yang kita hari hari sebut dengan istilah 'visual communication' (komunikasi lukisan). Beliau tidak pernah menggunakan 'written communication' (komunikasi tulisan) disebabkan beliau tidak pandai membaca dan menulis.

Justeru, lukisan sebagai media bagi menyampaikan mesej-mesej Islam itu ada dalam sunah Nabi Muhammad. Ini pendapat kita sekarang. Kita mengajak pakar-pakar agama dan pakar-pakar teori kesenian Islam menerangkan kedudukan komik sebagai alat berdakwah.