Sunday, December 20, 2009

Surah Yusuf dan Isu SUBJEK dalam Ayat

Banyak penulis mengambil ringan isu SUBJEK dalam ayat. Ini termasuklah penulis yang dilabelkan sebagai penulis novel sastera. Ayat yang tiada SUBJEKnya adalah ciri bahasa lisan, yakni bahasa cakap mulut.

Ia juga bukan gaya bahasa Quran. Dalam Quran, ayat yang tiada SUBJEK terdiri daripada 2 jenis:

(1) Ayat misteri seperti "Alif. Lam. Mim."

(2) Ayat sumpah seperti "Demi masa!"

Dalam surah Yusuf, hanya ada sepotong ayat yang tiada SUBJEKnya, yakni misteri: "Alif. Lam. Raa."

Seluruh surah Yusuf terdiri daripada ayat-ayat yang legkap dengan SUBJEK dan PREDIKATnya. Ini bermakna, Allah menunjukkan bahawa ayat-ayat yang indah adalah ayat-ayat yang mempunyai SUBJEK dan PREDIKAT.

Contoh ayat yang tiada SUBJEKnya adalah: "Kamu adalah anak angkatku sahaja." Zaleha terdiam. Tergamam. Tidak dapat hendak berkata lagi. Teramat terperanjat. Bagaikan tidak percaya.

Penulis yang menulis ayat-ayat tanpa unsur SUBJEK dalam ayat ini bukan hanya datang daripada mereka yang memegang ijazah teknikal, justeru mereka tidak memiliki pengetahuan tatabahasa dan gaya bahasa yang mendalam.

Rupa-rupanya, penulis-penulis yang memegang ijazah linguistik ataupun ijazah sastera juga kerap melakukan kesilapan tatabahasa jenis ini.

Malah, penulis yang memegang ijazah sastera Arab pun ada yang melakukan kesilapan jenis ini, walhalnya mereka mempelajari dengan mendalam unsur-unsur nilai keindahan bahasa Quran.

Banyak penulis terpengaruh oleh gaya penulisan penulis-penulis lain. Disebabkan mereka banyak membaca ayat-ayat tanpa SUBJEK dalam karya-karya penulis lain, lalu apabila mereka menulis, mereka meniru ayat-ayat seperti itu.