Tuesday, December 01, 2009

Surah Yusuf: Dari Novel ke Filem

Salah satu ciri novel yang ditulis supaya mudah diadaptasikan kepada filem adalah ciri perkembangan plotnya yang laju.

Sesetengah novel perlahan dibaca, manakala sesetengah novel laju dibaca. Novel yang ditulis dengan filem dalam kepala pengarangnya mempunyai ciri laju dibaca, selaju filem ditonton.

Sebagai penulis baru, saudara mungkin bertanya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah novel itu perlahan ataupun cepat dibaca.

Faktor-faktor itu adalah:

1. Dialog lebih laju dibaca daripada naratif.

Semakin banyak dialog, semakin laju novel itu dibaca. Semakin banyak teks naratif, semakin perlahan novel itu dibaca. Kisah Nabi Yusuf disampaikan menggunakan lebih 80% dialog. Ini adalah peratusan yang sangat tinggi.

Semakin banyak dialog dalam novel asal, semakin mudah dialog itu dikekalkan dalam filem.

2. Dialog pendek lebih laju dibaca daripada dialog panjang.

Lebih pendek dialog itu, lebih laju ia dibaca. Dialog yang pendek juga lebih mudah dilakonkan dalam filem. Dalam Surah Yusuf, 50% dialog terdiri daripada dialog 1 ayat.

3. Bukan semua teks naratif perlahan dibaca.

(a) Teks naratif yang dihasilkan oleh pengarang omnipotent adalah lebih perlahan dibaca daripada yang bukan. Istilah ‘omnipotent’ bermakna ‘maha berkuasa’ ataupun ‘maha tahu’. Pengarang omnipotent menggunakan banyak kata sifat (adjectives) dalam naratif.

Teks naratif jenis ini disebut teks TELLING. Teks naratif TELLING sukar diadaptasikan ke dalam filem kerana ia sukar dilakonkan.

Gaya naratif TELLING bukan gaya bahasa surah Yusuf.

(b) Teks naratif yang bersifat SHOWING lebih laju dibaca. Teks jenis ini ditulis oleh pengarang yang tidak bersikap omnipotent. Pengarang bukan omnipotent banyak menggunakan kata nama dan kata kerja (nouns and verbs) dalam naratif.

Teks naratif SHOWING mudah diadaptasikan ke dalam novel kerana ia mudah dilakonkan. Gaya bahasa TELLING adalah gaya bahasa surah Yusuf.

Belajar menulis novel yang mudah difilemkan banyak manfaatnya. Pertama, apabila filem itu menerima sambutan hangat, jualan novelnya naik.

Kedua, mesej murni dalam novel asal dapat disebarkan dengan lebih luas sebab bukan semua orang suka membaca. Banyak orang suka menonton filem dan televisyen.

Ketiga, novel-novel itu membantu perkembangan industri filem yang sihat. Keempat, penulis mendapat dua sumber royalti, daripada buku dan daripada filem.


1 Komen:

At 11:59 PM, Blogger kahar jalil oleh...

Assalamualaikum Pn. Sifu,
Mohon penjelasan lanjut berkaitan dengan perkara berikut.

Saya keliru dengan perkara

(a)Gaya naratif TELLING bukan gaya bahasa surah Yusuf.

(b)Gaya bahasa TELLING adalah gaya bahasa surah Yusuf.

Wassalam

Kahar Jalil

 

Post a Comment

<< Home