Thursday, January 01, 2009

Surah Yusuf dan Etika Sasterawan Islami

Sebagai penulis, mahu tidak mahu, secara disedari ataupun tidak, dalam proses menuliskan karya, saudara akan menumpahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan peribadi saudara.

Jika saudara seorang yang pro-perceraian, maka saudara akan memasukkan nilai peribadi saudara itu ke dalam karya saudara. Justeru akan terdapat unsur dan episod perceraian dalam karya saudara itu nanti.

Jika saudara seorang yang anti-poligami, maka nilai-nilai peribadi saudara itu nanti akan saudara tumpahkan ke dalam novel saudara, maka akan ada unsur-unsur anti-poligami dalam novel saudara it.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami. Tidak ada peristiwa perceraian dan tidak ada watak yang pernah bercerai. Begitu juga tidak ada watak yang mengamalkan poligami. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin adalah anak-anak Nabi Yaakub daripada isteri kedua selepas isteri pertama beliau meninggal dunia.

Ini bermakna, salah satu ciri kisah cinta yang indah adalah di mana dalam kisah itu tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami.

Sebagai sasterawan Islami, saudara tertakluk kepada etika penulisan Islami, di mana saudara tidak boleh menjadikan karya saudara tempat mencurahkan nilai-nilai pegangan peribadi saudara yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal Islam.

Saudara mungkin berpegang pada prinsip peribadi yang bersikap “lebih baik bercerai daripada dimadukan” tetapi etika penulisan Islami tidak membenarkan saudara menyebar-luaskan nilai-nilai peribadi saudara yang sebegitu kepada para pembaca karya saudara.

Meskipun saudara pro-perceraian dan anti-poligami, namun Islam tidak menyukai perceraian dan Islam membenarkan poligami.

Sastera adalah media bagi sasterawan menyampaikan mesej-mesej ideal sahaja.

Simpan nilai-nilai peribadi saudara yang tidak selari dengan Islam dalam hati saudara sendiri. Tuhan jualah yang lebih mengetahui.
.

.