Thursday, January 01, 2009

Unsur Merapu dalam Novel Remaja Islami

Sdr. Hafez Ziadi, salah seorang anggota team projek “Kedai Pajak” telah mengkaji Harry Potter dan mendapati cerita-cerita HP dipenuhi dengan unsur-unsur ‘merapu’. Kisah HP dan rakan-rakannya menaiki kereta biasa yang boleh terbang adalah contoh unsur merapu.

Hasil kajian Sdr. Hafez itu mempunyai implikasi penting, yakni bagi saudara-saudara yang hendak mencipta kejayaan dalam genre sastera remaja, ini bermakna dalam cerita-cerita saudara itu nanti, perbanyakkanlah unsur-unsur merapu.

Disebabkan PTS hanya menerbitkan karya Islami, kita perlu membuat ketetapan apakah cerita-cerita “merapu” dapat diterima oleh sastera Islami. Jika ya, maka kita akan menerbitkan cerita-cerita yang dalam plotnya terdapat banyak unsur-unsur merapu. Jika tidak, maka kita tidak dapat menerbitkannya.

Kita berpendapat, unsur merapu dapat diterima dalam sastera Islam. Ini adalah berdasarkan, di dalam Quran ada suatu kisah yang mungkin dianggap merapu bagi mereka yang menggunakan akal semata-mata apabila berfikir, iaitu kisah tiga orang pemuda yang tertidur selama 300 tahun dalam gua Kahfi.

Dalam surah Yusuf pun ada unsur 'merapu', iaitu episod wanita-wanita sahabat Zulaikha, yang tentunya ada yang sudah tua-tua juga, terhiris jari masing-masing apabila terpandang Nabi Yusuf.

Dalam surah Yusuf juga ada episod di mana seorang bayi bercakap kepada Menteri Aziz menyuruh suami Zulaikha itu supaya memeriksa dahulu bahagian mana baju Nabi Yusuf terkoyak sebelum menjatuhkan hukuman.

Dalam hadith pula, pada suatu masa Nabi Muhammad pernah berkata, maksudnya, “Jika bulan diletakkan di tangan kiriku, dan matahari di tangan kananku....” Mana mungkin bulan dan matahari dapat diletakkan dalam tangan manusia, tetapi itulah imej dalam kata-kata Nabi Muhammad. Berfikir begini disebut ‘pemikiran hipotetikal’.

Berdasarkan sunah Quran dan sunah nabi yang di atas itu, kita berpendapat unsur merapu dapat diterima dalam sastera Islami.

Dua prinsip penting dalam mencipta bahan-bahan merapu dalam cerita Islami adalah:

1. Aspek merapu itu tidak melibatkan syirik. Aspek merapu itu tidak sampai mengatakan seseorang itu, ataupun sesuatu benda itu, mempunyai kuasa yang menyerupai kuasa-kuasa Tuhan. Dalam cerita “Aladin dengan Lampu Ajaibnya”, jin itu mempunyai kuasa-kuasa Tuhan, suatu hal yang pada pandangan kita tidak sesuai dengan sastera Islami.

2. Aspek merapu itu adalah atas kurnia Allah. Sebagai contoh, selepas si watak berdoa kepada Tuhan, barulah kerisnya boleh terbang! Jangan katakan, si watak mempunyai kepandaian mencipta keris terbang. Dalam Islam semua ilmu yang kita miliki adalah pemberian Allah, jadi, katakanlah si watak pun berdoa memohon Allah memberikan kepadanya ilmu mencipta keris terbang! Ertinya semua unsur merapu hendaklah terhasil daripada doa watak-watak itu.

Dengan ini kita berpandangan, penggunaan unsur-unsur merapu dalam karya Islam bukan hanya dapat diterima bagi buku-buku remaja, tetapi apa-apa juga buku cerita.

Nota: Bagi orang yang beriman, unsur-unsur merapu yang kita gunakan sebagai contoh dalam artyikel ini bukan merapu tetapi benar.




1 Komen:

At 6:37 PM, Blogger Itminaan oleh...

Assalamualaikum..
Minta jelaskan pendapat saudara ini:
"Dalam surah Yusuf pun ada unsur 'merapu'"
Apakah yang dimaksudkan dengan merapu??
Terima Kasih.

 

Post a Comment

<< Home