Tuesday, December 01, 2009

Menghasilkan Karya Evergreen Berdasarkan Surah Yusuf

Ramai orang sudah menghasilkan banyak karya, baik novel mahupun komik, tetapi mereka tidak kaya, disebabkan mereka tidak mempunyai banyak HARTA INTELEK, kerana tidak semua karya akhirnya menjadi Harta.

Mencipta karya dan mencipta harta intelek memerlukan cara berfikir yang sangat berbeza. Untuk berkarya, saudara hanya memerlukan idea. Tetapi untuk mencipta harta intelek saudara memerlukan FORMULA IDEA yang berpotensi dapat ditukar menjadi harta intelek.

Apabila saudara berkarya, baik novel mahupun komik, jangan fokuskan fikiran saudara pada “karya” sebaliknya fikirkan “Harta Intelek”. Oleh itu jangan saudara berfikir “Cerita apa aku nak tulis” sebaliknya fikirkan “Harta apa aku nak cipta.”

Ingatlah, kebanyakan karya yang berjaya diterbitkan kekal sebagai karya sahaja. Karya itu tidak diulangcetak tahun demi tahun, tidak dapat diterbitkan semula dalam media lain, tidak dapat diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain, dan macam-macam lagi.

Kisah yang indah adalah batu asas harta intelek yang evergreen, apakah kisah indah itu akan dijadikan novel konvensional ataupun novel grafik, mahupun buku komik panjang.

Apabila cerita novel saudara itu cerita yang elok, dituliskan dengan gaya sastera yang biasa-biasa sahaja pun novel saudara itu berpotensi menjadi evergreen.

Begitu juga apabila stori dalam komik saudara itu bagus, gaya stroke lukisan yang biasa-biasa pun dapat menghasilkan karya grafik yang evergreen.

Apabila saudara menulis sastera Islami, ataupun melukis komik Islami, dengan berpandukan surah Yusuf, cerita saudara itu sebaik-baiknya adalah didasarkan kepada cerita benar kerana seluruh kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah benar. Ini bermakna saudara melakukan kajian sebelum memilih kisah siapa yang hendak saudara novelkan.

Prinsip ini tidak bermakna dalam sastera Islami saudara tidak diizinkan menulis novel berdasarkan imaginasi saudara sahaja, tetapi cerita yang direka-reka tidak dapat menghasilkan kisah yang indah dan evergreen keindahannya.

Prinsip kisah benar ini lebih penting saudara amalkan apabila usia saudara masih muda, belum melepasi 30 tahun, masih belum berkahwin, belum pernah tinggal di luar negara, tidak pernah berniaga, belum pernah bercerai, belum mengalami kematian pasangan, belum pernah masuk ICU, masih menuntut... belum pernah itu ini.

Disebabkan usia saudara yang masih muda, pengalaman saudara masih belum banyak, oleh hal yang demikian imaginasi saudara dihadkan oleh pengalaman yang sedikit. Faktor ini hanya dapat diatasi apabila cerita dalam novel ataupun komik saudara itu adalah berdasarkan kisah benar.