Tuesday, December 01, 2009

Unsur Kebetulan dalam Surah Yusuf

Dalam pemikiran pengkritik sastera aliran perdana, unsur kebetulan dianggap unsur kelemahan dalam plot. Unsur kebetulan juga dianggap kelemahan pada cara fikir pengarang, yakni, pengarang yang kurang kreatif dan kurang tinggi IQ-nya sahaja yang terpaksa menggunakan unsur kebetulan bagi menyelesaikan masalah pada plot cerita.

Manakala pemikiran sastera perdana menganggap kebetulan sebagai unsur kecacatan pada karya, teori sastera Islami mazhab surah Yusuf menerima unsur kebetulan sebagai unsur keindahan.

Dalam surah Yusuf terdapat unsur-unsur kebetulan seperti berikut:

a. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada dalam telaga, air telaga itu tidak cukup dalam, jadi beliau tidak mati lemas.

b. Kebetulan, ada kafilah dagang lalu, kemudian salah seorang daripada mereka mencampakkan timba bertali ke dalam telaga sehingga Nabi Yusuf dapat bergantung kepada tali timba itu.

c. Kebetulan, apabila Nabi Yusuf dijual di pasar, yang membelinya adalah al-Aziz, suami Zulaikha.

d. Kebetulan, sebaik-baik Zulaikha mengejar dari belakang dan menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak, tiba-tiba muncul al-Aziz, suaminya, di depan pintu.

e. Kebetulan, sewaktu peristiwa (d) terjadi dan dalam keadaan suaminya amat marah melihat dengan matanya sendiri apa yang berlaku, dan mendengar aduan Zulaikha kononnya Nabi Yusuf cuba mencabulinya, kebetulan ada seorang saksi yang ternampak peristiwa itu dan memberitahu al-Aziz supaya memeriksa apakah baju Nabi Yusuf di bahagian depan ataupun belakang.

f. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada di dalam penjara, Raja Mesir mendapat mimpi luar biasa, yang tidak ada sesiapa dapat mentakbirkan makna mimpi itu.

g. Kebetulan Nabi Yusuf mempunyai kepandaian mentakbir mimpi lalu beliau dibawa berjumpa Raja Mesir.

Tentu sekali bukan semua jenis kebetulan dapat menghasilkan keindahan. Tentu sekali ada jenis-jenis kebetulan yang mencacatkan keindahan karya, yang mencerminkan kelemahan jalan fikir pengarang.

Kita memerlukan analisis lebih mendalam bagi mengkaji apakah ciri-ciri unsur kebetulan dalam surah Yusuf. Dengan analisis itu kita dapat menghasilkan formula mencipta keindahan dalam plot cerita berdasarkan teori sastera Islami mazhab surah Yusuf.