Wednesday, December 01, 2010

Tema Perceraian Tidak Islami

Antara tema dan isu yang popular dibincangkan dalam sastera Melayu kontemporari adalah isu perceraian. Perceraian menjadi begitu lumrah, baik dalam sastera yang berat-berat mahupun dalam sastera yang ringan-ringan.

Malah terdapat dalam buku sastera kanak-kanak dan sastera remaja di mana aspek perceraian diwujudkan, biasanya dalam cerita-cerita itu ada watak kanak-kanak yang datang daripada latar belakang ibu bapa yang bercerai.

Suatu pola yang menimbulkan keprihatinan kita adalah di mana, berbanding pengarang lelaki, pengarang-pengarang perempuan lebih cenderung menghasilkan cerita yang berunsurkan perceraian. Malah pengarang perempuan yang yang muda belia, dan yang belum berkahwin pun sudah menghasilkan cerita-cerita yang dikaitkan dengan perceraian.

Apakah posisi tema dan isu perceraian dari sudut teori sastera Islami? Ini dapat dijawab dengan mengkaji ciri-ciri cerita yang terkandung dalam Quran.

Salah satu ciri pada cerita-cerita yang terdapat dalam Quran adalah ketiadaan watak-watak yang terlibat dengan cerai-berai, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Maksudnya, tidak ada watak yang dia sendiri pernah bercerai, ataupun yang ibu bapanya bercerai-berai.

Dalam lain perkataan, dalam cerita-cerita Quran, tidak ada cerita di mana watak-wataknya terlibat dengan perceraian, ataupun ada watak yang merupakan anak mangsa perceraian.

Pasangan suami isteri seperti Nabi Nuh dan isterinya yang derhaka itu pun, tetap sampai sudah Nabi Nuh tidak menceraikan isterinya.

Asiah, ibu angkat Nabi Musa, yang juga isteri kepada Firaun yang teramat kejam itu pun, tetap sampai sudah tidak meminta cerai.

Dalam surah Yusuf, al-Aziz, suami Siti Zulaikha, tidak menceraikan isterinya, meskipun dia sudah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana baju Nabi Yusuf koyak di bahagian belakang!

Sebaliknya, dalam Quran, terdapat cerita berkenaan lelaki yang terlibat dengan dengan poligami, iaitu Nabi Ibrahim yang mempunyai dua orang isteri.

Cerita anak-anak yang mempunyai ibu tiri ada, iaitu Nabi Ishak dan Nabi Ismail. Mereka adalah anak-anak kepada Nabi Ibrahim daripada 2 orang isterinya, Siti Sarah dan Siti Hajar. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin juga mempunyai ibu tiri dan abang-abang tiri.

Cerita lelaki yang kematian isteri, kemudian berkahwin lain pun terdapat dalam Quran, iaitu Nabi Yaakub, ayahanda kepada Nabi Yusuf. Nabi Bunyamin dan Nabi Yusuf adalah anak daripada isteri kedua beliau, selepas isteri pertamanya meninggal dunia. Dengan isteri pertamanya Nabi Yaakub mempunyai 9 orang anak.

Pada prinsipnya dalam Quran tidak terdapat cerita di mana ada watak lelaki ataupun perempuan yang berkahwin, kemudian bercerai, kemudian berkahwin lain, ataupun tidak.

Allah jualah yang maha tahu mengapa di dalam Quran Allah tidak menyampaikan cerita-cerita tentang pasangan suami isteri yang bercerai-berai, ataupun cerita anak-anak daripada keluarga yang bercerai-berai.

Dari sudut teori sastera Islami, sastera perlu selaras dengan Quran.

Barangkali, disebabkan perceraian adalah perkara yang dibenarkan tetapi dibenci oleh Allah, maka cerita itu tidak disentuh dalam Quran. Namun perceraian begitu popular dalam sastera Melayu.


1 Komen:

At 3:04 AM, Blogger amin007 oleh...

kenapa drama melayu suka sangat ada cerita tentang perceraian yer???

 

Post a Comment

<< Home