Friday, December 31, 2010

Hukum 'Fikah Cerita'

Salah satu isu yang relevan dibincangkan dalam sastera Islami adalah 'fikah cerita', yakni apa hukumnya pengarang menulis jenis-jenis tema, cerita dan watak-watak dalam karya yang dihasilkan.

Ambil sebagai contoh dalam kes menghasilkan novel yang bertemakan perceraian: Apakah pengarangnya mendapat pahala, dosa, ataupun tidak mendapat apa-apa?

Dalam Quran tidak ada langsung cerita perempuan diceraikan oleh suami, apatah lagi cerita perempuan meminta cerai daripada suami mereka. Siti Sarah yang tidak suka hidup bermadu dan sangat membenci madunya, itu pun tidak meminta cerai dari suaminya. Siti Zulaikha yang terang-terangan telah jatuh cinta kepada hambanya sendiri semasa suaminya tiada di rumah, dia tidak diceraikan oleh suaminya.

Ada 2 orang isteri nabi-nabi yang dilaknat Allah, yakni dihukum masuk neraka selama-lamanya. Mereka adalah isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Meskipun demikian buruknya tingkah laku 2 orang perempuan itu, mereka tidak diceraikan oleh suami mereka, padahal suami mereka adalah nabi-nabi.

Pada saat ini tema yang sangat popular dalam novel-novel yang ditujukan kepada pembaca perempuan adalah tema perceraian. Begitu popularnya tema perceraian sehingga dalam novel-novel untuk bacaan kanak-kanak dan remaja pun terdapat watak-watak yang ada kaitan dengan perceraian, sebagai contoh watak utamanya adalah anak pasangan bercerai.

Banyak novel mengemukakan sikap pro-perceraian. Trend ini terbawa-bawa, sehingga novel-novel yang pengarangnya yang belum berkahwin, justeru belum pernah mengalami masalah perkahwinan, pun terikut-ikut mempromosi perceraian.

Dalam novel-novel seperti itu perceraian dipromosi sebagai sesuatu yang tidak membahayakan diri dan kebajikan perempuan, ia tidak patut ditakuti, malah perceraian adalah bagus untuk perempuan. Dalam novel-novel itu juga perceraian dipromosi sebagai langkah bijaksana, manakala tidak mahu bercerai adalah langkah bodoh.

Malah banyak perbincangan tentang watak perempuan yang dikatakan sebagai watak kuat adalah merujuk kepada watak-watak perempuan yang bercerai.

Perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah. Bahawa perceraian itu demikian dibenci oleh Allah sehingga ia selaras dengan fakta bahawa dalam cerita-cerita al-Quran tidak ada contoh cerita watak yang bercerai. Justeru, menulis cerita yang mengemukakan watak-watak yang bercerai adalah sesuatu yang tiada presedennya dalam al-Quran.

Penerbit dan juga para penulis perlu mengetahui apakah hukumnya kita menerbitkan dan menulis novel-novel yang berkaitan dengan tema perceraian, sebagai contoh dalam novel itu ada watak anak yang ibu bapanya bercerai, ataupun ada watak perempuan yang memilih perceraian apabila mengalami masalah dalam perkahwinannya. Apakah dengan menerbitkan dan menghasilkan novel-novel seperti itu kita mendapat pahala ataupun dosa, ataupun apa?



.