Monday, December 13, 2010

Kemenangan Moral: Prinsip Surah Yusuf

Ada tiga jenis kemenangan. Pertama, kemenangan fizikal. Kedua, kemenangan material, yakni kemenangan daripada sudut harta dan kekayaan. Ketiga, kemenangan moral.

Dalam pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat, Hang Tuah mendapat kemenangan fizikal dengan kejayaannya membunuh Hang Jebat. Namun Hang Tuah mengalami kekalahan moral disebabkan masyarakat moden tidak dapat menerima kesanggupan seseorang yang dikatakan pahlawan membunuh sahabat karib yang telah membelanya.

Kemenangan moral adalah kemenangan buruk - lawan - baik, yakni berdasarkan nilai-nilai murni.

Dari sudut teori sastera Islami aliran surah Yusuf, kemenangan moral tidak boleh diberikan kepada watak-watak hitam.

a. Watak jahat tidak boleh dijadikan hero ataupun watak utama. Dalam surah Yusuf, watak utama adalah seorang yang baik, yang ideal.

b. Watak jahat tidak boleh diberikan kemenangan dan terlepas daripada sebarang hukuman. Dalam surah Yusuf, Zulaikha 'dihukum' dengan mendapat malu di depan raja Mesir, manakala abang-abang Nabi Yusuf 'dihukum' dengan terpaksa meminta kasihan kepada Nabi Yusuf semasa ditimpa kelaparan.

c. Watak jahat tidak boleh terus dibiarkan berada dalam kejahatan sehingga tamat cerita, yakni watak jahat itu terus hidup sihat dan kaya raya, sampai mati dia tidak sedar akan kejahatannya dan tidak insaf. Dalam kisah Nabi Yusuf, Zulaikha dan abang-abang Nabi Yusuf akhirnya insaf dan menjadi baik.

d. Pengarang tidak boleh membela perbuatan yang salah dengan mengatakan perbuatan itu boleh dimaafkan. Sebagai contoh, pengarang tidak boleh membela seorang penyamun (Robinhood) dengan mengatakan penyamun itu seorang yang baik sebab dengan wang yang disamunnya itu dia membantu orang-orang miskin.

e. Watak baik tidak boleh dihukum atas kebaikannya. Walaupun pada awal kisah Nabi Yusuf seolah-olah ditimpa nasib malang berkali-kali tetapi akhirnya NabiYusuf berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah dan akhirnya menjadi orang kanan raja Mesir.

Dalam cerita-cerita tradisi terdapat unsur-unsur yang tidak selaras dengan prinsip kemenangan moral dalam surah Yusuf, sebagai contoh Lebai Malang adalah watak baik tetapi dia dirugikan. Malim Kundang pula dihukum menjadi batu tanpa diberi peluang minta ampun dan bertaubat.

Mat Jenin adalah seorang pemuda yang rajin dan bercita-cita tinggi tetapi dihukum mati.

Sebaliknya ada pula watak hitam seperti Pak Belalang yang pemalas dan nujumnya dusta tetapi dia dapat kahwin dengan puteri raja.

.