Saturday, December 11, 2010

Social Modelling dalam Novel: Prinsip Surah Yusuf

Dalam ilmu psikologi, Albert Bandura mengemukakan teori yang mengatakan bahawa kanak-kanak belajar sesuatu tingkah laku itu dengan meniru tingkah laku orang-orang yang ada di sekelilingnya. Teori beliau itu dikenali sebagai “social modelling” ataupun “teladan sosial”.

Teori teladan sosial dapat diaplikasikan dalam penulisan novel. Apabila seseorang pengarang novel itu hendak menanamkan nilai “jangan mencuri” kepada remaja, kaedah yang manakah yang lebih berkesan ke atas jiwa remaja?

(a) Menggunakan teori teladan: Jadilah seperti budak ini!
Sebagai contoh, pengarang menulis cerita bagaimana seorang remaja bernama Ahmad, tidak mahu mencuri walaupun dia sangat memerlukan wang sedangkan dia dapat mencuri wang itu dari laci kedai ayahnya, tanpa diketahui oleh sesiapa. Dalam kaedah ini, pengarang menggunakan watak Ahmad si budak baik supaya remaja yang membaca akan meniru tingkah laku baik Ahmad itu sebagai teladan.


Ataupun,


(b) Menggunakan teori sempadan: Jangan jadi macam budak ini!
Sebagai contoh, pengarang menulis kisah seorang remaja bernama Budin, yang mencuri wang dari laci kedai ayahnya, tetapi akhirnya dia tertangkap lalu dihukum oleh ayahnya dengan mengikat dia pada pokok yang ada sarang kerengga, akibatnya Budin insaf lalu sejak itu dia berhenti mencuri. Dalam kaedah ini pengarang menggunakan watak Budin si budak jahat supaya remaja yang membaca cerita ini tidak mahu meniru tingkah laku Budin, yakni Budin menjadi sempadan.

Surah Yusuf memilih prinsip (a) yakni menggunakan prinsip teladan watak baik. Jadi, Nabi Yusuf adalah seorang yang sabar, jujur, bergantung pada Allah dan lain-lain lagi. Justeru mesej kisah Nabi Yusuf adalah “Jadilah seperti Nabi Yusuf”. Manakala mesej yang dibawa oleh watak-watak jahat itu adalah, “Jangan jadi seperti abang-abang Nabi Yusuf ataupun Zulaikha”.

Sebagai kesimpulan, surah Yusuf menggunakan kedua-dua kaedah (a) teladan dan kaedah (b) sempadan, di mana watak utama memainkan fungsi teladan. Fungsi sempadan dimainkan oleh watak-watak pembantu.

Sebagai kesimpulan, berdasarkan surah Yusuf, bagi tujuan pendidikan nilai dan akhlak, watak utama hendaklah watak baik supaya dijadikan teladan oleh pembaca.