Monday, December 06, 2010

Surah Yusuf: Teknik Menggambarkan Watak

Salah satu aspek yang menarik dalam surah Yusuf adalah teknik menggambarkan watak-watak dalam sebuah kisah yang indah.

Dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan rupa bentuk tubuh badan setiap wataknya. Jadi kita tidak diberitahu, sebagai contoh, apakah warna mata, rambut ataupun kulit Nabi Yusuf dan semua watak lain. Malah kita tidak diberitahu usia ataupun pakaian yang mereka pakai.

Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Nabi Yusuf adalah seperti dibawah:

a. Demikianlah Tuhanmu memilihmu dan mengajarkan takwil mimpi kepadamu serta menyempurnakan nikmatnya kepadamu. (Yusuf, ayat 6)

b. Apabila Yusuf dewasa, kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. (Yusuf, ayat 22)

c. Sesungguhnya perempuan itu telah suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya. (Yusuf, ayat 24)

d. Demikianlah Kami bebaskan Yusuf daripada kejahatan dan perbuatan keji. Sesungguhnya dia hamba Kami yang tulus ikhlas. (Yusuf, ayat 24)

e. Demikianlah Kami tempatkan Yusuf di bumi Mesir. Dia tinggal di mana yang dikehendakinya. (Yusuf, ayat 56)

f. Tatkala mereka masuk berjumpa Yusuf, lalu Yusuf menempatkan ibu bapanya di tempat tinggalnya. (Yusuf, ayat 99)

g. Kemudian Yusuf mendudukkan ibu bapanya di natas singgahsananya, lalu mereka tunduk kepada Yusuf. (Yusuf, ayat 100)

Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Zulaikha adalah:

a. Kemudian yang empunya rumah di mana dia tinggal, mengajaknya berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu....(Yusuf, ayat 23)

b. Sesungguhnya perempuan itu suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya.... (Yusuf, 24)

c. Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang sehingga koyak. Setibanya di pintu, kedua-duanya terserempak dengan suaminya.... (Yusuf, ayat 25)

d. Tatkala perempuan itu (Zulaikha) mendengar perihal umpatan mereka, lalu dia mengundang mereka, dan disediakannya tempat duduk bersandar.... (Yusuf, ayat 31)

Analisis ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa, berdasarkan surah Yusuf, dalam membina perwatakan, apa yang penting adalah action dan dialog. Dalam erti kata lain, terangkan apa yang dilakukan oleh watak, dan apa yang dikatakannya.



1 Komen:

At 9:03 PM, Blogger MZP oleh...

Ayat 24 surah Yusuf boleh difahami dengan salah sekiranya tidak memahami dengan asas bahasa Arab yang betul. Barangkali kepada tahap menghina para Nabi dengan sikap yang dilarang kepada Baginda.

Sekadar mencelah.

 

Post a Comment

<< Home