Wednesday, December 01, 2010

Watak dalam Novel Islami

Apabila saudara menulis novel Islami dengan menggunakan surah Yusuf sebagai panduan tentang apa yang dianjurkan dan apa yang tidak dianjurkankan, berikut adalah formula menghasilkan kisah yang indah daripada sudut watak-watak:

1. Watak utama dalam surah Yusuf adalah Nabi Yusuf. Ini bermakna, watak utama novel Islami yang indah adalah seorang lelaki yang ideal. Seluruh surah Yusuf menceritakan perjalanan hidup Nabi Yusuf, sejak kecil sehingga dewasa.

2. Watak utama kedua adalah Siti Zulaikha, seorang perempuan yang jelita, pintar, kaya, sudah berkahwin dan mempunyai kelemahan pada peribadinya, dalam kes Siti Zulaikha dia seorang isteri yang curang.

3. Jumlah watak dalam surah Yusuf amat banyak dan terdiri daripada semua golongan – daripada bayi sehingga orang tua, daripada hamba sehingga raja, daripada orang baik sehingga orang jahat, baik lelaki mahupun perempuan.

4. Jumlah watak jahat adalah lebih banyak daripada watak baik. Dalam kisah Nabi Yusuf watak-watak jahat termasuklah abang-abangnya yang mencemburuinya, cuba membunuhnya, juga merupakan anak-anak derhaka; Siti Zulaikha, seorang isteri curang, penggoda, pendusta dan pemfitnah terhadap Nabi Yusuf; Menteri Aziz, seorang lelaki yang baik hati tetapi bagi menjaga nama baik keluarganya dia mengambil keputusan berdusta kepada raja sehingga Nabi Yusuf dipenjarakan; wanita-wanita sahabat Siti Zulaikha dan lain-lain.

5. Jumlah watak-watak baik dalam kisah Nabi Yusuf tidak ramai, iaitu beliau sendiri, abangnya Nabi Bunyamin, ibu bapanya dan Raja Mesir.

Dalam sejarah sastera Melayu, hanya Hikayat Hang Tuah yang mempunyai semua ciri-ciri seperti di atas, meskipun Hang Tuah bukanlah watak seideal Nabi Yusuf. Maka tidak hairanlah prestasi Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah karya sastera mengatasi prestasi karya-karya lain.

Implikasi daripada analisis watak-watak dalam surah Yusuf membayangkan novel Islami tidak menerima watak-watak non-ideal, seperti anak derhaka, pelacur, penjudi, penghibur, perompak, pengkhianat, individu yang putus asa, dan lain-lain jenis manusia non-ideal dijadikan watak utama.





1 Komen:

At 9:50 AM, Blogger Romantis Selatan oleh...

Watak-watak yang ramai, jalan ceritanya lebih meriah. Proses mencipta watak-watak yang ramai itu adalah cabaran yang menyeronokkan.

 

Post a Comment

<< Home