Wednesday, December 01, 2010

Cerita yang Tidak Syariah Compliant

Salah satu fungsi cerita-cerita dalam Quran adalah sebagai teladan yang baik, yakni teladan yang dijadikan ikutan. Sebagai contoh, dengan membaca cerita Nabi Yusuf, maka pembaca mencontohi tingkah laku beliau yang sangat sabar dan tawakal serta tidak membalas dendam apabila dizalimi oleh perempuan yang pernah berbudi besar kepadanya.

Membaca cerita bukan suatu proses psikologi yang inosen. Pada realitinya, cerita tidak dibaca semata-mata sebagai cerita, selepas dibaca ia dilupakan seperti air hujan yang jatuh di atas daun keladi yang tidak membasahi daun.

Membaca cerita memberikan kesan ke atas psikologi. Cerita-cerita yang dibaca meresap ke dalam otak bawah-sedar pembacanya, seperti air hujan yang jatuh ke atas pasir.

Dengan hal yang demikian, sastera Islami perlu menghidangkan cerita-cerita yang dapat menjadi teladan baik kerana cerita-cerita juga dapat menjadi teladan buruk.

Sebagai contoh, peristiwa sebenar 'The Great Train Robbery' dilakukan selepas para perompak itu menonton sebuah filem yang menunjukkan bagaimana cara-cara sekumpulan perompak merompak sebuah kereta api, lalu mencontohi teknik rompakan dalam filem itu.

Dalam hasil kajian psikologi yang pernah dijalankan di Amerika di kalangan penonton televisyen kelompok gadis remaja, tanpa mengira apa mesej drama yang mahu disampaikan oleh penulis skripnya, didapati gadis-gadis remaja cenderung meniru tingkah laku seksual negatif (dalam kes ini tingkah laku kehamilan remaja) apabila tingkah laku itu dilakonkan oleh pelakon-pelakon remaja yang 'cool' pada pandangan remaja.

Sebagai contoh, perempuan-perempuan yang banyak membaca novel-novel di mana watak perempuannya mengambil keputusan bercerai apabila suami mereka terlibat dengan wanita lain cenderung melakukan perkara yang serupa apabila mereka sendiri mengalami situasi yang serupa.

Justeru, bagi penulis sastera Islami, ada cerita-cerita yang boleh diceritakan, manakala ada cerita-cerita yang tidak boleh diceritakan. Ini dapat dikenalpasti dengan merujuk kepada cerita-cerita dalam Quran.

Sebagai contoh, dalam Quran tidak ada cerita perempuan diperkosa, perempuan meminta cerai, perempuan lari dari suami, perempuan yang main kayu tiga, malah tidak ada cerita-cerita tentang perempuan yang dianiaya oleh suami, justeru dari sini dapat disimpulkan bahawa cerita-cerita seperti ini tidak boleh dijadikan cerita dalam sastera Islami kerana ia boleh menjadi teladan buruk kepada pembacanya.



1 Komen:

At 7:19 AM, Blogger SALLEH DERMAWAN oleh...

Justeru, bagi penulis sastera Islami, ada cerita-cerita yang boleh diceritakan, manakala ada cerita-cerita yang tidak boleh diceritakan. Ini dapat dikenalpasti dengan merujuk kepada cerita-cerita dalam Quran.

Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa dalam ayat di atas, mungkin tuan hanya mahu mengutamakan isinya, namun ada baik juga jika tuan turut menyampaikan isi dengan bahasa yang betu. PPerhatikan penggunaan 'justeru' dan .'Ini dapat...'somoga teguran ini menambah lagi ilmu kita bersama-sama

 

Post a Comment

<< Home