Thursday, December 02, 2010

Optimisme dan Pesimisme: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu ciri kisah yang indah adalah di mana sesudah selesai membaca kisah itu, pembaca mendapat semacam harapan bahawa Tuhan tidak pernah membuangnya, bahawa sebesar mana sekalipun kesalahan yang penah dilakukannya dapat dihapus oleh keinsafan, bahawa apa juga masalah yang sedang dihadapinya akan terungkai, bahawa kezaliman akan digantikan dengan kebaikan.

Dalam kisah Nabi Yusuf, beliau tidak pernah berputus asa meskipun beliau ditimpa malang yang berat sebanyak 5 kali:

(1) Beliau dibenci oleh abang-abangnya sendiri di mana beliau cuba dibunuh oleh mereka lalu dibuang ke dalam telaga.

(2) Kemudian beliau dijual dengan harga murah sebagai abdi di negeri yang jauh.

(3) Kemudian beliau difitnah dengan fitnah yang berat oleh isteri majikannya sendiri, seorang pembesar dalam istana Raja Mesir.

(4) Kemudian beliau merengkok dalam penjara dan,

(5) Kemudian beliau merengkok lebih lama lagi dalam penjara apabila orang yang dipercayainya terlupa pada pesanannya.

Meskipun demikian, Nabi Yusuf akhirnya berpeluang membersihkan dirinya daripada fitnah perempuan itu. Kemudian beliau berpeluang memulangkan paku buah keras kepada abang-abangnya. Akhirnya, dari kedudukan hina sebagai banduan dalam penjara, beliau keluar lalu dilantik menjadi wazir Raja Mesir, suatu kedudukan yang mulia.

Dalam kisah Nabi Yusuf itu, semua watak jahat tidak dihukum, sebaliknya mereka insaf sendiri. Itulah yang berlaku ke atas perempuan yang memfitnah beliau, dan ke atas sembilan orang abangnya yang pernah cuba membunuh beliau.

Berdasarkan ciri-ciri yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf, dapatlah disimpulkan bahawa mesej sastera Islami adalah optimisme dan harapan. Dengan demikian sastera Islami menolak karya yang mencipta mood pesimisme dan putus asa.

Justeru, pada penilaian sastera Islami, bukanlah indah karya-karya yang menampilkan cerita-cerita yang menyebabkan timbul di hati pembaca emosi-emosi negatif terhadap watak-watak jahat dalam cerita itu, dan di mana watak-watak jahat terus menerus tidak insaf sampai ke akhir cerita.


.