Saturday, December 11, 2010

Realisme dan Realiti dalam Teknik Penceritaan Surah Yusuf

Teori dan teknik surah Yusuf mengusulkan gagasan bahawa kisah dan karya yang indah tercipta apabila sesuatu cerita itu adalah didasarkan pada kisah yang sebenar-benarnya pernah berlaku, bukan berdasarkan kisah ciptaan khayalan manusia.

Cerita yang diceritakan dalam surah Yusuf adalah kisah benar belaka, kisah yang real.

Namun, teknik penceritaan dalam surah Yusuf adalah berdasarkan selective-reality, yakni realiti yang dipilih-pilih, bukan asal realiti sahaja maka diceritakan.

Dalam surah Yusuf itu terkandung prinsip-prinsip yang jelas bagi mengenalpasti unsur-unsur realiti yang bagaimana yang boleh diceritakan dan yang tidak boleh diceritakan.

Surah Yusuf juga menerangkan teknik penceritaan yang boleh digunakan dan yang tidak boleh digunakan apabila menggambarkan realiti.

Sebagai contoh, jenayah boleh diceritakan. Justeru ada kisah jenayah dan keganasan di mana abang-abang Nabi Yusuf merancang mahu membunuh Nabi Yusuf tetapi tidak diceritakan secara detail dan teknikal bagaimana jenayah itu mereka lakukan. (Prinsip ini juga berlaku pada teknik penceritaan kisah bagaimana Qabil membunuh Habil di mana tidak ada ayat yang menerangkan bagaimana proses pembunuhan itu dilakukan oleh Qabil.)

Sebaliknya pula yang terdapat dalam teknik surah Yusuf, di mana babak-babak kebaikan diceritakan dengan detail, sebagai contoh peristiwa bagaimana Nabi Yusuf memberi layanan baik kepada abang-abangnya yang datang ke Mesir bagi membeli gandum.

Di bawah ini adalah contoh babak yang tidak syariah-compliant kerana babak ini menceritakan dengan detail teknik-teknik dan dialog yang digunakan dalam babak keganasan rumahtangga:

Dia cuba berdiri tetapi dengan tiba-tiba tangan kasar Tuan Musa hinggap di pipi kirinya. Sekali lagi dia terduduk di atas katil.

“Aduh! Sakitlah, bodoh! Ceraikan aku, ceraikan aku sekarang juga!” jerit Rozita.

“Siapa benarkan ustaz itu masuk rumah kita?” marah Tuan Musa sambil menuding jari ke luar rumah mereka. Jarinya mula di hala ke dahi isterinya. “Engkau sahaja hendak sakitkan hati aku, ya?” jeritnya sambil menunjal kuat kepala isterinya.

“Kenapa dengan awak ini? Engkau bodoh, ceraikan aku!” tanya Rozita sambil berdiri dan menumbuk-numbuk dada suaminya.

Tuan Musa menolak lagi Rozita ke katil. Mukanya tersembam ke atas tilam yang empuk. Rozita mula menangis. Dia teresak-esak dalam tiarapannya.

Tuan Musa menarik telekung Rozita dari belakang. Bahagian kepalanya sudah terdedah. Tuan Musa menarik rambut Rozita. Isterinya kesakitan.

“Kau pergi rumah budak itu semalamkan?” jerit Tuan Musa lagi.

Rozita masih meniarap. Dia masih teresak-esak.

“Aku tanya engkau, kenapa engkau pergi rumah budak itu semalam?” Tuan Musa menarik lagi rambut Rozita dan memusingkan badan isterinya. Sekarang dia mencangkung atas badan isterinya di atas katil. “Jawab aku tanya ini, buat apa kau pergi rumah budak itu?”

Rozita menutup matanya yang berair. Tuan Musa semakin berang dia mengangkat kepala isterinya dan menampar sekuat hatinya. Rozita meronta-ronta dan cuba menendang suaminya.

“Engkau tidak berguna, aku mahu engkau ceraikan aku sekarang juga.”

“Engkau jawab dahulu, kenapa engkau pergi rumah budak itu? Hei, engkau jangan hendak buat-buat muka tidak bersalah, walau engkau bertudung lingkup sekalipun keluar rumah, harga diri engkau tidak lebih daripada seorang pelacur, kau faham? Mana ada isteri senang-senang keluar rumah pergi rumah jantan lain?'

“Astaghfirullahal azim... Kau tuduh aku pelacur. Kau memang sudah melampau. Membazir sahaja hidup dengan kau,” jawab Rozita teresak-esak.

Nota: Petikan di atas diambil dari sebuah manuskrip yang dihantar ke PTS.