Monday, December 06, 2010

Fakta dalam Sastera: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak mencadangkan apakah bentuk dan jenis bahan-bahan cerita yang dapat menghasilkan kisah-kisah yang indah, dan ini mendorong para pengarang aliran sastera konvensional membezakan antara apa yang disebut novel bertaraf sastera fiksyen, novel popular, novel sejarah, biografi dan lain-lain kategori, dengan sastera fiksyen diberikan tempat paling atas.

Dari sudut pandang dan amalan teori sastera konvensional, salah satu ukuran kehebatan seseorang pengarang adalah daya imaginasinya. Semakin seseorang itu dapat menciptakan bahan-bahan cerita yang bersifat fiksyen murni, maka semakin tinggi penilaian yang diberikan kepada bakat seni dan karya seninya.

Maka dalam teori sastera konvensional, novel yang diktiraf sebagai novel sastera adalah karya yang bahan-bahan utama ceritanya adalah hasil ciptaan imaginasi pengarang, sebagai contoh dalam novel SALINA, watak Salina dan watak-watak lain seperti Helmi, Abdul Fakar dan Karupayah ataupun Kampung Kambing adalah ciptaan pengarang. Demikian juga dalam RANJAU SEPANJANG JALAN, watak-watak Lahuma dan Jeha adalah ciptaan imaginasi pengarang.

Dalam teori sastera konvensional, fakta bukan seni dan seni bukan fakta. Seni yang bernilai sastera adalah fiksyen ciptaan pengarang berdasarkan persepsi pengarang ke atas fakta, di mana persepsi-persepsi itu ditampilkan dalam karya dalam bentuk-bentuk simbolik. Jadi watak Salina dan Kampung Kambing bukan fakta tetapi adalah simbol-simbol fakta yang mewakili lanskap sosiologi masyarakat Melayu Singapura pada zaman Perang Dunia Kedua.

Justeru, dalam teori sastera konvensional, novel-novel karya John Grisham dan Tom Clancy tidak diterima sebagai sastera murni, melainkan sebagai sastera popular sahaja disebabkan kedua-dua pengarang itu mencipta fiksyen-fiksyen yang fakta-fakta teknikalnya adalah saintifik dan betul.

Di sini teori sastera Islami aliran surah Yusuf berbeda pandangan dengan teori sastera konvensional. Kisah Nabi Yusuf adalah kisah benar. Maka dari sudut teori sastera Islami, fakta adalah sumber dan ciri keindahan dan kedudukan fakta dalam karya sastera adalah lebih tinggi daripada daya imaginasi murni. Justeru, karya yang lebih tinggi nilai keindahannya adalah karya yang mengandungi lebih banyak fakta.



.

1 Komen:

At 11:44 PM, Anonymous Anonymous oleh...

lumayan untuk nambah"sedikit" wawasan aku.ok lah....

 

Post a Comment

<< Home