Saturday, December 11, 2010

Gaya Bahasa Surah Yusuf

Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab tinggi dan bernilai sastera. Demikianlah ciri gaya bahasa pada surah Yusuf.

Ini membayangkan novel Islami dalam bahasa Melayu hendaklah ditulis menggunakan bahasa Melayu tinggi dan bernilai sastera.

Dalam surah Yusuf, penggunaan bahasa tinggi ini adalah tanpa kekecualian:

1. Seluruh teks naratif dalam surah Yusuf menggunakan bahasa Arab tinggi.

2. Semua dialog watak-watak dalam surah Yusuf menggunakan bahasa Arab tinggi.

3. Tanpa kekecualian, semua watak bercakap menggunakan bahasa Arab tinggi, sehingga apabila seorang bayi bercakap, bayi itu pun menggunakan bahasa Arab tinggi. Demikian pula, sewaktu Nabi Yusuf kecil, beliau bercakap kepada ayahnya dengan menggunakan bahasa Arab tinggi, dan begitu juga ayahnya, Nabi Yaakub.

Ini menggambarkan, dalam teori penulisan novel Islami, karya yang indah adalah karya yang dituliskan dalam bahasa tinggi. Prinsip ini menolak sudut pandangan aliran sastera realisme, yang mahu supaya karya sastera menggambarkan secara realistik apa yang sebenarnya berlaku dalam alam real.

Penggunaan bahasa tinggi sebagaimana yang ditunjukkan dalam surah Yusuf mempunyai kelebihannya:

1. Bahasa tinggi adalah lebih stabil. Perbendaharaan kata, makna dan nahunya tidak berubah-ubah. Ini menyebabkan karya yang ditulis menggunakan bahasa tinggi mempunyai hayat panjang. Bandingkan ini dengan gaya bahasa rendah, yakni bahasa basahan yang cepat berubah-ubah sehingga gaya yang kontemporari hari ini sudah terasa basi dalam tempoh dua tiga tahun kemudian. Ini menjadikan sesuatu karya itu dapat difahami dan dinikmati oleh beberapa generasi sebelum gaya bahasa itu dianggap klasik.

2. Bahasa tinggi difahami oleh penutur dalam wilayah yang lebih luas. Bahasa Melayu tinggi dan Bahasa Indonesia tinggi dapat difahami di seluruh wilayah nusantara. Bandingkan ini dengan bahasa Indonesia dialek Jakarta mahupun bahasa Melayu dialek Kuala Lumpur yang tidak dapat difahami oleh rakyat kedua-dua negara. Karya-karya yang ditulis dalam bahasa tinggi dapat dipasarkan dalam wilayah yang lebih luas.

Dalam konteks penggunaan bahasa tinggi, sekarang dapatlah kita fahami faktor yang menyebabkan filem-filem P.Ramlee yang diterbitkan 40 tahun dahulu masih dapat difahami dan dinikmati sehingga hari ini.

Walaupun banyak faktor lain pada filem-filem itu sudah ketinggalan zaman, tetapi disebabkan dialog dalam filem-filem P.Ramlee menggunakan bahasa Melayu tinggi, cerita dalam filem-filem itu masih terus berkomunikasi kepada penontonnya.



2 Komen:

At 10:01 PM, Blogger rosnah taib oleh...

saya belajar sesuatu yang baru dari artikel teknik penulisan surah yusuf.

 
At 1:49 PM, Blogger ~~redmaria~~ oleh...

Terima kasih atas ilmu yang diberi.

 

Post a Comment

<< Home