Saturday, December 11, 2010

Teknik Surah Yusuf: Tiada Penerangan Teknikal Tentang Perbuatan Mungkar

Cerita dalam surah Yusuf adalah bertemakan "buruk lawan baik" tetapi dalam kisah Nabi Yusuf itu, tidak ada panduan teknikal bagaimana sesuatu kemungkaran itu dilakukan.

Dalam teori dan teknik surah Yusuf, penulis tidak dibenarkan menulis ayat-ayat naratif mahupun ayat dialog yang menggambarkan bagaimana watak-watak melakukan sesuatu kemungkaran. Malah, penulis tidak dibenarkan menuliskan ayat-ayat monolog yang menerangkan bagaimana watak sedang berfikir dan merancang mahu melakukan sesuatu kemungkaran.

Walaupun abang-abang Nabi Yusuf telah mencampakkan adik mereka ke dalam telaga air, tidak ada ayat yang menerangkan bagaimana perbuatan mungkar itu mereka lakukan. Justeru pembaca tidak diberitahu bagaimana mereka memegang Nabi Yusuf, bagaimana mereka membawa Nabi Yusuf ke tepi telaga, bagaimana mereka menolak ataupun mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam telaga. Pembaca juga tidak diberitahu dialog yang diucapkan antara watak-watak dalam peristiwa mungkar itu.

Dalam kes kemungkaran yang dilakukan oleh Siti Zulaikha di mana dia cuba menggoda Nabi Yusuf, tidak ada ayat yang menerangkan secara teknikal apa yang dilakukan oleh perempuan itu supaya Nabi Yusuf tergoda apabila terpandang kepada dirinya. Pembaca tidak diberitahu perkara-perkara yang dilakukan oleh Siti Zulaikha sebagai persiapan bagi menggoda Nabi Yusuf, sebagai contoh apakah pakaian yang dipakainya, apakah dia memercikkan wangian ke tubuhnya, apakah dia menyikat rambutnya, atau lain-lain perbuatan.

Malah tidak ada ayat yang menerangkan apa yang difikirkan oleh Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusuf.

Sebaliknya, dalam teknik penceritaan surah Yusuf, yang diterangkan adalah panduan-panduan melakukan kebaikan. Terdapat banyak ayat yang menerangkan cara-cara bagaimana sesuatu kebaikan itu dilakukan.

Contoh ayat naratif yang menerangkan kemungkaran yang sedang difikirkan oleh watak adalah seperti di bawah ini:

Pak Ali yakin benar usahanya memikat Cikgu Noor berjaya. Jika selama ini dia asyik memandang Cikgu Noor dan mengintai-intai ketika dia sedang mandi, tetapi malam ini dia yakin benar Nenek Besar dapat membantu menyampaikan segala hasrat dan perasaannya.

Contoh ayat naratif yang menerangkan bagaimana watak melakukan perbuatan mungkar ada seperti di bawah ini:

Malam itu Tuan Musa bertemu Tauke Lim di hotel mewah tempat mereka selalu bertemu. Tidak ketinggalan Lily dan Suryani juga menemani mereka. Sambil mereka makan-makan di lounge hotel itu, mereka didendangi oleh kumpulan penyanyi dari Filipina yang terdiri daripada dua orang perempuan yang berpakaian seksi dan seorang lelaki. Dalam kesamaran cahaya lounge, mereka dihidangkan dengan halwa telinga berupa nyanyian lagu-lagu hits tujuh puluhan. Dari tempat duduk mereka juga, mereka dapat menyaksikan tarian-tarian yang mengghairahkan daripada dua gadis Filipina itu.

Contoh dialog yang mengandungi panduan teknikal bagaimana cara melakukan sesuatu kemungkaran adalah seperti di bawah ini:

“Hmmm! Nenek boleh jampikan malam ini jika puan mahu. Pulang ke rumah nanti, puan ambil nasi yang masih panas berasap dan campurkan sedikit dengan apa sahaja jenis kotoran daripada badan puan. Maksud nenek ialah puan boleh campurkan sama ada najis atau pun air kencing puan ke dalam nasi Tuan Musa. Jika puan rasa terlalu kotor, puan boleh gunakan daki puan atau pun kotoran daripada celah kuku puan. Kemudian, puan letakkan nasi tadi di bawah xxxx. Puan boleh duduk xxxxxxx atas nasi yang panas berwap tadi lebih kurang sepuluh hingga lima belas minit. Xxxxxx sehingga wap daripada xxxxxx puan menitik ke dalam nasi tadi,” kata Nenek Besar kepada isteri Tuan Musa.

Contoh-contoh di atas dipetik dari sebuah manuskrip yang dihantar oleh seorang penulis kepada PTS.

Nota: Penulis yang tidak pernah hadir dalam kursus penulisan anjuran PTS cenderung menghantar manuskrip yang mengandungi ayat-ayat yang menggambarkan tingkah laku watak-watak sedang melakukan kemungkaran, seperti babak lelaki dan perempuan bukan muhrim bergaul, berdating, dan banyak lagi.



1 Komen:

At 4:34 PM, Blogger rosnah taib oleh...

dah lama saya bersutuju dgn cara penulisan surah yusuf cuma selama ni tak tahu ada yg mengusahakan teknik ini. dah lama saya marah dgn tekni penulisan kemungkaran yang ada details perlakuannya. Alhamdulillah saya bersyukur kerana ada yg memperjuangkan teknik inmi. syukur sangat kerana saya terbaca artikel ini. saya akan menelaah terjemahan dan tafsir surah yusuf utk memahami lebih lagi.
alhamdulillah.

 

Post a Comment

<< Home