Saturday, December 11, 2010

Sastera Islami Tidak Boleh Memberikan Kekalahan Moral kepada Penganutnya

Buku-buku sejarah berfungsi menceritakan fakta-fakta sejarah. Sebagai contoh, buku sejarah menceritakan faktor-faktor bagaimana tentera Portugis-Kristian akhirnya berjaya mengalahkan tentera Melaka-Islam.

Buku-buku sejarah menerangkan proses dan faktor-faktor yang telah menghasilkan kekalahan Melaka-Islam kepada Portugis-Kristian.

Namun, sastera Islamilah yang akan menebus kekalahan itu sehingga umat Islam menjadi umat yang menang.

Justeru sastera Islami tidak boleh memainkan fungsi-fungsi yang serupa dengan fungsi buku-buku sejarah, kerana sastera Islami tidak boleh berfungsi menerangkan realiti sebagaimana adanya. Fungsi sastera Islami adalah mencipta realiti baru bagi menggantikan realiti lama.

Jika Melaka-Islam pernah dikalahkan oleh Portugis-Kristian, sastera Islami tidak boleh meneruskan kekalahan itu. Sastera Islami dikehendaki supaya dengan membaca karya-karya itu umat Islam hari ini bangun semula dan menjadi umat yang menang.

Sastera Islami tidak boleh menggunakan simbol-simbol kekalahan, seperti wajah perempuan Melaka-Islam yang berjaya ditawan, dipasung dan diperkosa oleh lelaki Portugis-Kristian, yang mana dengan membaca simbol-simbol kekalahan dan penghinaan seperti itu, ia mampu menyebabkan bawah-sedar orang Islam yang membaca simbol-simbol itu mengalami kehilangan rasa percaya-diri bahawa dia adalah sebahagian daripada umat yang telah dijanjikan Kemenangan oleh Allah.

Sastera Islami tidaklah demikian sederhana definisinya, sehingga dikatakan asal sahaja dalam karya itu tidak mengandung cerita-cerita picisan, maka karya itu sudah layak diterima sebagai sastera Islami....