Friday, December 17, 2010

Dialog yang Indah: Prinsip Surah Yusuf

Dalam tradisi penulisan konvensional, lazimnya ayat-ayat naratif sahaja yang perlu bersifat ayat lengkap, yakni ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat, manakala syarat yang sama tidak dikenakan ke atas ayat-ayat dialog. Inilah yang menyebabkan banyak ayat dialog dalam karya sastera konvensional tidak bersifat ayat lengkap.


Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat mengandungi dialog di dalamnya. Dengan demikian kita perlu mengkaji ciri-ciri struktur dialog dalam surah Yusuf bagi mengetahui pola dialog yang menjadi model keindahan dalam teori sastera Islami.


Dalam surah Yusuf, tanpa satu pun kekecualian, setiap ayat dialog adalah ayat lengkap, yakni ayat yang mengandungi SUBJEK dan PREDIKAT. Dalam istilah lama, subjek adalah 'BENDA' manakala predikat adalah 'CERITA'.


Ini bermakna, dalam surah Yusuf, dialog dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri keindahan, manakala dialog yang dituliskan tidak dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri kecacatan. Justeru, dalam teori sastera Islami, semua ayat, baik naratif mahupun dialog, perlu ditulis menggunakan ayat-ayat lengkap.


Contoh ayat dialog yang lengkap subjek dan predikatnya dalam surah Yusuf adalah seperti di bawah:

Ayat 4: (Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, dan saya melihat mereka tunduk memberi hormat kepada saya.”

Ayat 5: Bapanya berkata, “Wahai anakanda, janganlah kamu ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Ayat 8: (Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”

Bandingkan dengan ayat-ayat di bawah yang tidak lengkap disebabkan dalam ayat-ayat itu tidak ada subjeknya:


Pagi-pagi sudah naik angin,” kata Leha. (TIADA SUBJEK)

Pagi-pagi (dia) sudah naik angin,” kata Leha. (BETUL)


Dia,” jawab Atan. (TIADA PREDIKAT)

Dialah (orang yang dicari),” jawab Atan. (BETUL)


Sebuah masjid,” keluh Pak Tam. (TIADA PREDIKAT)

Sebuah masjid (tua),” keluh Pak Tam. (BETUL)


Pergi ke masjid!” katanya. (TIADA SUBJEK)

(dia) Pergi ke masjid!” katanya. (BETUL)


Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (TIADA SUBJEK)

(dia) Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (BETUL)


Sudah lama begitu,” keluhnya. (TIADA SUBJEK)

(dia) Sudah lama begitu,” keluhnya. (BETUL)


Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


Jangan berpura-pura,” pinta Karim. (TIADA SUBJEK)

Jangan (kamu) berpura-pura,” pinta Karim. (BETUL)


Tak mungkin hilang,” jawabnya. (TIADA SUBJEK)

(barang itu) Tak mungkin hilang,” jawabnya. (BETUL)


Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (TIADA SUBJEK)

(Kopi itu) Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (BETUL)


Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (TIADA SUBJEK)

(Kamu) Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (BETUL)


Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


Sesetengah frasa klise sememangnya berupa ayat tidak lengkap, seperti “Apa khabar?”, “Apa buat tu?”, “Dah lama tunggu?”, “Sila duduk.” ataupun “Sudah makan?”


Frasa-frasa klise seperti ini tidak terdapat dalam surah Yusuf. Ini bermakna karya yang memasukkan ayat-ayat dialog klise seperti ini akan mencacatkan unsur keindahan karya tersebut.


.