Saturday, December 25, 2010

Surah Yusuf dan Tema Evergreen

Novel saudara menjadi evergreen apabila tema ceritanya evergreen. Justeru, memilih tema menjadi kemahiran kritikal.

Sesetengah cerita hanya dapat dijual dalam jangka masa singkat, yakni ia bermusim. Sebagai contoh, sepanjang musim Piala Dunia bagi sukan bola sepak, buku cerita yang ditulis dengan tema sukan itu dapat dijual. Habis pesta bola, jualan buku itu pun merudum.

Tema yang evergreen adalah tema nilai dengan konflik antara dua nilai yang bertentangan. Konflik nilai adalah konflik kejiwaan. Itulah sebabnya konflik nilai mempunyai ciri konflik yang evergreen.

Tema utama dalam kisah Nabi Yusuf adalah ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’. Watak-watak yang melambangkan tema kebaikan adalah Nabi Yusuf, Nabi Yaakub, Nabi Bunyamin dan Raja Mesir, manakala watak-watak yang melambangkan tema kejahatan adalah isteri al-Aziz, dan abang-abang Nabi Yusuf.

Tema ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’ adalah tema paling evergreen. Dalam dunia siri komik dan kartun kanak-kanak sekalipun, tema ini kekal menjadi formula kejayaan paling utama. Hanya watak-watak sahaja berubah, manakala tema ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’ kekal.