Thursday, January 01, 2009

Hukum Menulis Cerita: Prinsip Surah Yusuf

Menulis cerita panjang, istilah sekarang 'novel', ada sunnahnya, baik dalam Quran mahupun hadith. Jadi menulis cerita adalah suatu aktiviti yang bernilai ibadah.

Kitab Quran itu penuh dengan pelbagai cerita, daripada cerita yang ringkas-ringkas kepada cerita yang panjang. Ini bermakna cerita menjadi alat penting bagi menyampaikan mesej.

Nabi Muhammad, walaupun beliau tidak menulis cerita, tetapi beliau banyak menggunakan cerita bagi menyampaikan mesej sebagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith beliau.

Cerita yang paling panjang dalam Quran adalah cerita Nabi Yusuf. Ada beberapa keistimewaan yang terdapat pada surah Yusuf. Puan Ainon Mohd. dan En. Faris Hasbullah pernah membuat kajian ke atas surah Yusuf dan berikut adalah beberapa penemuan mereka:

1. Jumlah ayat dalam surah Yusuf adalah 111 ayat. Dengan jumlah itu, dibandingkan dengan nabi-nabi lain, Nabi Yusuf adalah nabi yang paling banyak ayat berkenaan kisah hidupnya. Kisah Nabi Yusuf adalah kisah yang paling lengkap berkenaan sejarah hidup seorang nabi dalam Quran, di mana ia bermula semenjak Nabi Yusuf kecil sehinggalah beliau dewasa. Semua ayat berkenaan kisah hidup Nabi Yusuf terkumpul dalam satu surah khas, yakni surah Yusuf. Ini berbeza dengan ayat-ayat berkenaan kisah nabi-nabi lain yang tidak terkumpul dalam surah yang dinamai sempena nama masing-masing.

2. Cerita berkenaan Nabi Yusuf dimulakan dengan ayat prolog yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu, wahai Muhammad, sebuah kisah yang paling indah.” Ayat ini membayangkan bahawa sebuah cerita yang indah itu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang terdapat pada jalan cerita, perwatakan, gaya penceritaan dan gaya bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf. Ayat ini juga membayangkan, apa yang ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah dibenarkan dalam teori novel Islami, dan begitu pula sebaliknya, apa yang tidak ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah tidak diterima sebagai unsur novel Islami.

3. Kisah indah Nabi Yusuf diturunkan kepada Nabi Muhammad sewaktu beliau masih berada di Mekah, yakni sebelum beliau berpindah ke Madinah. Sebagaimana yang diketahui, mesej dalam ayat-ayat Quran yang diturunkan di Mekah hanyalah berkenaan asas-asas sistem kepercayaan dalam Islam. Fakta bahawa surah Yusuf diturunkan di Mekah membayangkan bahawa dalam Islam, fungsi kisah-kisah indah, yakni fungsi novel Islami, adalah sebagai alat bagi mendorong pembaca ataupun pendengar supaya mengubah sistem kepercayaan dan keyakinan mereka.

Ringkasnya begini, apabila kita mahu seseorang itu mengubah sistem keyakinannya, ceritakan kepadabya sebuah kisah yang indah, yang relevan dengan konteks orang itu. Umpamanya, apabila kita mahu mendorong seseorang supaya jangan berputus asa, maka ceritakan kepadanya sebuah kisah yang relevan dengan dirinya.



Unsur Merapu dalam Novel Remaja Islami

Sdr. Hafez Ziadi, salah seorang anggota team projek “Kedai Pajak” telah mengkaji Harry Potter dan mendapati cerita-cerita HP dipenuhi dengan unsur-unsur ‘merapu’. Kisah HP dan rakan-rakannya menaiki kereta biasa yang boleh terbang adalah contoh unsur merapu.

Hasil kajian Sdr. Hafez itu mempunyai implikasi penting, yakni bagi saudara-saudara yang hendak mencipta kejayaan dalam genre sastera remaja, ini bermakna dalam cerita-cerita saudara itu nanti, perbanyakkanlah unsur-unsur merapu.

Disebabkan PTS hanya menerbitkan karya Islami, kita perlu membuat ketetapan apakah cerita-cerita “merapu” dapat diterima oleh sastera Islami. Jika ya, maka kita akan menerbitkan cerita-cerita yang dalam plotnya terdapat banyak unsur-unsur merapu. Jika tidak, maka kita tidak dapat menerbitkannya.

Kita berpendapat, unsur merapu dapat diterima dalam sastera Islam. Ini adalah berdasarkan, di dalam Quran ada suatu kisah yang mungkin dianggap merapu bagi mereka yang menggunakan akal semata-mata apabila berfikir, iaitu kisah tiga orang pemuda yang tertidur selama 300 tahun dalam gua Kahfi.

Dalam surah Yusuf pun ada unsur 'merapu', iaitu episod wanita-wanita sahabat Zulaikha, yang tentunya ada yang sudah tua-tua juga, terhiris jari masing-masing apabila terpandang Nabi Yusuf.

Dalam surah Yusuf juga ada episod di mana seorang bayi bercakap kepada Menteri Aziz menyuruh suami Zulaikha itu supaya memeriksa dahulu bahagian mana baju Nabi Yusuf terkoyak sebelum menjatuhkan hukuman.

Dalam hadith pula, pada suatu masa Nabi Muhammad pernah berkata, maksudnya, “Jika bulan diletakkan di tangan kiriku, dan matahari di tangan kananku....” Mana mungkin bulan dan matahari dapat diletakkan dalam tangan manusia, tetapi itulah imej dalam kata-kata Nabi Muhammad. Berfikir begini disebut ‘pemikiran hipotetikal’.

Berdasarkan sunah Quran dan sunah nabi yang di atas itu, kita berpendapat unsur merapu dapat diterima dalam sastera Islami.

Dua prinsip penting dalam mencipta bahan-bahan merapu dalam cerita Islami adalah:

1. Aspek merapu itu tidak melibatkan syirik. Aspek merapu itu tidak sampai mengatakan seseorang itu, ataupun sesuatu benda itu, mempunyai kuasa yang menyerupai kuasa-kuasa Tuhan. Dalam cerita “Aladin dengan Lampu Ajaibnya”, jin itu mempunyai kuasa-kuasa Tuhan, suatu hal yang pada pandangan kita tidak sesuai dengan sastera Islami.

2. Aspek merapu itu adalah atas kurnia Allah. Sebagai contoh, selepas si watak berdoa kepada Tuhan, barulah kerisnya boleh terbang! Jangan katakan, si watak mempunyai kepandaian mencipta keris terbang. Dalam Islam semua ilmu yang kita miliki adalah pemberian Allah, jadi, katakanlah si watak pun berdoa memohon Allah memberikan kepadanya ilmu mencipta keris terbang! Ertinya semua unsur merapu hendaklah terhasil daripada doa watak-watak itu.

Dengan ini kita berpandangan, penggunaan unsur-unsur merapu dalam karya Islam bukan hanya dapat diterima bagi buku-buku remaja, tetapi apa-apa juga buku cerita.

Nota: Bagi orang yang beriman, unsur-unsur merapu yang kita gunakan sebagai contoh dalam artyikel ini bukan merapu tetapi benar.




Surah Yusuf dan Etika Sasterawan Islami

Sebagai penulis, mahu tidak mahu, secara disedari ataupun tidak, dalam proses menuliskan karya, saudara akan menumpahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan peribadi saudara.

Jika saudara seorang yang pro-perceraian, maka saudara akan memasukkan nilai peribadi saudara itu ke dalam karya saudara. Justeru akan terdapat unsur dan episod perceraian dalam karya saudara itu nanti.

Jika saudara seorang yang anti-poligami, maka nilai-nilai peribadi saudara itu nanti akan saudara tumpahkan ke dalam novel saudara, maka akan ada unsur-unsur anti-poligami dalam novel saudara it.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami. Tidak ada peristiwa perceraian dan tidak ada watak yang pernah bercerai. Begitu juga tidak ada watak yang mengamalkan poligami. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin adalah anak-anak Nabi Yaakub daripada isteri kedua selepas isteri pertama beliau meninggal dunia.

Ini bermakna, salah satu ciri kisah cinta yang indah adalah di mana dalam kisah itu tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami.

Sebagai sasterawan Islami, saudara tertakluk kepada etika penulisan Islami, di mana saudara tidak boleh menjadikan karya saudara tempat mencurahkan nilai-nilai pegangan peribadi saudara yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal Islam.

Saudara mungkin berpegang pada prinsip peribadi yang bersikap “lebih baik bercerai daripada dimadukan” tetapi etika penulisan Islami tidak membenarkan saudara menyebar-luaskan nilai-nilai peribadi saudara yang sebegitu kepada para pembaca karya saudara.

Meskipun saudara pro-perceraian dan anti-poligami, namun Islam tidak menyukai perceraian dan Islam membenarkan poligami.

Sastera adalah media bagi sasterawan menyampaikan mesej-mesej ideal sahaja.

Simpan nilai-nilai peribadi saudara yang tidak selari dengan Islam dalam hati saudara sendiri. Tuhan jualah yang lebih mengetahui.
.

.

Hukum Menghasilkan dan Menerbitkan Karya Komik

Bagi saudara yang akan menghasilkan karya dalam bentuk lukisan, sebelum kita bercakap tentang karya komik Islami, kita perlu menyelesaikan lebih dahulu persoalan apakah hukum melukis komik.

Kedudukan senilukisan dalam Islam adalah sama kontroversinya dengan senimuzik dan senilakon. Terdapat dua kubu pendapat. Satu kubu mengatakan seni lukisan itu tidak boleh, manakala kubu yang satu lagi mengatakan boleh.

Dalam surah Yusuf tidak ada unsur lukisan. Tetapi ada suatu hadis yang menarik.

Kita petik hadis nombor 575 dalam koleksi Riadhus Salihin, susunan Imam Nawawi yang bermaksud: Ibnu Masud berkata, "Nabi Muhammad melukis rajah empat segi. Kemudian, di tengah-tengah segiempat itu beliau melukis suatu garisan panjang yang sampai terkeluar dari segiempat itu. Kemudian beliau melukis garis-garis pendek di bawah garis tengah itu. Selepas itu Nabi Muhammad berkata (bagi menerangkan makna lukisannya itu), 'Garis ini adalah manusia. Garis ini adalah ajalnya. Garis yang terkeluar ini adalah angan-angannya. Garis-garis pendek ini adalah perkara-perkara duniawi yang diterimanya. Jikalau dia terhindar daripada bencana yang ini, dia akan ditimpa oleh bencana yang ini pula. Jikalau dia terlepas daripada bencana yang ini, dia tentu tidak terlepas daripada bencana yang ini pula.'"

Disebabkan hadis ini autoritatif, maka kita berpendapat bahawa Nabi Muhammad bukan hanya menyampaikan mesej Islam dengan menggunakan 'verbal communication' (komunikasi lisan) tetapi beliau pernah menggunakan apa yang kita hari hari sebut dengan istilah 'visual communication' (komunikasi lukisan). Beliau tidak pernah menggunakan 'written communication' (komunikasi tulisan) disebabkan beliau tidak pandai membaca dan menulis.

Justeru, lukisan sebagai media bagi menyampaikan mesej-mesej Islam itu ada dalam sunah Nabi Muhammad. Ini pendapat kita sekarang. Kita mengajak pakar-pakar agama dan pakar-pakar teori kesenian Islam menerangkan kedudukan komik sebagai alat berdakwah.



Surah Yusuf dan Logo HALAL

Seorang pemerhati bertanya apakah sesebuah karya yang tidak banyak menggunakan dialog, sebaliknya yang banyak menggunakan ayat-ayat naratif, tidak dapat mencapai taraf karya sastera yang indah dan yang evergreen?


Inilah respon kita:

Kita berpandangan, isu menilai apakah sesuatu karya itu indah ataupun kurang indah, perkara itu bukanlah objektif teori sastera Islami. Kita serahkan penilaian kepada Tuhan, sebab menilai adalah kerja Tuhan. Penilaian tentang indah ataupun buruk dilakukan ke atas hasil kerja, sedangkan yang lebih penting adalah usaha.

Dari sudut ideologi, kita meyakini, sesuatu karya yang dihasilkan dengan berpandukan ciri-ciri yang ada pada surah Yusuf, maka pastilah ia akan memiliki ciri-ciri kisah yang indah dan evergreen.

Kita perlu mencipta teori sastera disebabkan teori berfungsi sebagai alat kerja bagi menghasilkan karya sastera yang bermutu, sebagaimana kita perlu mencipta berus yang baik bagi menghasilkan lukisan yang bermutu.

Objektif teori sastera Islami adalah mencipta alat-alat kerja bagi menghasilkan karya yang syariah-compliant, yakni karya yang mematuhi undang-undang Tuhan. Maka boleh sahaja ciri-ciri itu dijadikan kayu ukur keindahan sesebuah karya. Semakin banyak karya itu memiliki ciri-ciri surah Yusuf, semakin tinggi ranking yang dapat diberikan kepada keindahan karya itu.

Sesebuah buku sastera seharusnya layak menggunakan logo HALAL apabila setiap ayat di dalamnya dapat disahkan 100%, dari kulit depan sehingga kulit belakang, semuanya mematuhi undang-undang Tuhan. Logo HALAL sangat berguna kepada ibu bapa dan sekolah sewaktu memilih buku-buku bagi bacaan anak-anak dan pelajar.

Dalam pekerjaan mencipta karya yang syariah-compliant itu, di manakah hendak dicari senarai hukum-hakam, yang dapat dijadikan garis panduan sewaktu hendak menentukan ayat-ayat yang diizinkan dan yang dilarang, yang perlu dipatuhi oleh karyawan.

Berdasarkan nas-nas yang mana hendak dikatakan bahawa sesuatu tema itu boleh digarap dalam sesebuah karya, manakala tema yang bagaimana pula yang tidak boleh? Ataupun bahawa ayat-ayat yang begini boleh dituliskan, manakala ayat-ayat yang begitu tidak boleh dituliskan?

Teori dan teknik surah Yusuf yang sedang diusahakan ini adalah suatu benda ciptaan manusia, yang dibangunkan dengan cara menganalisis perbendaharaan kata, struktur ayat dan struktur teks surah Yusuf itu sendiri.

Teori surah Yusuf adalah teori dan teknik-teknik bagaimana hendak menghasilkan karya sastera yang INDAH. Bagi menghasilkan karya-karya lain, spy-thriller ataupun novel perang umpamanya, perlu dibangunkan teori dan teknik-teknik lain pula, berdasarkan surah-surah lain pula.

Kita menunggu teori-teori dan teknik-teknik lain yang menyenaraikan ciri-ciri teknikal pelbagai genre yang syariah-compliant. Hasil daripada kepelbagaian hasil usaha itu nanti dapat menghasilkan alat-alat kerja yang praktikal bagi kegunaan karyawan Islami.

Tentang jaminan apakah dengan menggunakan teori dan teknik Surah Yusuf kita dapat menghasilkan karya yang evergreen, respon kita adalah: Tidak ada yang dapat dijamin oleh manusia, mahupun oleh teori ciptaan manusia.

Ini isu gabungan antara bakat, pengetahuan dan teknik. Teknik sahaja tidak cukup bagi menghasilkan karya yang indah. Ibarat pelukis yang hanya memiliki berus yang baik, sedangkan bakatnya rendah dan ilmunya sedikit, mana mungkin dia dapat menghasilkan lukisan yang setaraf Monalisa.


.

Stroke untuk Komik Islami

Kisah Nabi Yusuf adalah contoh kisah evergeen. Kita percaya jikalau surah Yusuf itu diterbitkan sebagai novel grafik, maka novel garfik itu berupaya menjadi evergreen.

Kita mencari stroke-stroke evergreen yang membolehkan komik-komik yang diterbitkan terjual bertahun-tahun, diulangcetak tahun demi tahun, diterbitkan mengunakan berbagai media, dan dapat diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain.

Kita sudah berjumpa dengan penulis-penulis yang karyanya berpotensi menjadi harta karun. Sasterawan Abd. Latip Mutalib adalah salah seorang daripadanya.

Storyboard bagi tiga buah novel Islaminya yang sudah selesai ditulis sedang dikerjakan oleh Sdr. Elmaaniq.

Kita nampak novel grafik sasterawan terkenal itu nanti akan mempunyai ciri-ciri evergreen dan dapat menembusi pasaran Indonesia.

Adakah saudara biasa menatap komik-komik Indonesia?

Adakah saudara mempunyai stroke yang berpotensi digemari di tanahair kita sendiri, juga dapat digemari di Indonesia?

Adakah stroke saudara mempunyai ciri-ciri stroke harta karun? Jika tidak, dapatkah saudara cipta stroke seperti itu?




Surah Yusuf: Nilai Peribadi dan Nilai Ideal

Setiap pengarang mempunyai nilai-nilai peribadi. Pengarang konvensional menuangkan nilai-nilai peribadinya ke dalam karyanya. Malah bagi mereka, berkarya adalah cara memperjuangkan nilai-nilai peribadi.

Sebagai contoh seseorang pengarang mungkin percaya perceraian itu OK. Dia percaya, bagi isteri-isteri yang mahu dimadukan oleh suaminya, adalah OK kalau si isteri memberi kata dua kepada suaminya. Dan jika suaminya tetap dengan niatnya mahu berkahwin lagi, adalah OK bagi si isteri memilih perceraian. Maka dalam karya si pengarang, nilai-nilai itu tergambar dengan jelas.

Nilai watak-watak utama alam novel konvensional lazimnya mewakili nilai-nilai yang diperjuangkan oleh pengarangnya.

Justeru, apabila si pengarang adalah seorang yang pro-poligami, maka watak utamanya melambangkan nilai pro-poligami. Dan apabila si pengarang anti-poligami, maka watak utamanya juga melambangkan nilai anti-poligami. Demikianlah juga dalam isu-isu lain seperti perceraian, kahwin cinta dan banyak lagi.

Etika sasterawan Islami tidak membenarkan pengarang menggunakan karyanya bagi memperjuangkan nilai-nilai peribadi yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal dalam Islam.

Sebagai contoh, perbuatan isteri meminta cerai disebabkan suaminya berkahwin lagi adalah tidak dibenarkan. Maka pengarang Islami tidak boleh meng-OK-kan perbuatan itu dalam karya-karyanya.

Meskipun Islam membenarkan perceraian, dalam surah Yusuf, tidak terdapat episod perceraian. Meskipun al-Aziz telah melihat sendiri bagaimana isterinya berlaku curang, tetapi dalam surah itu kita tidak diberitahu apakah dia menceraikan isterinya itu.

Demikian juga, dalam surah Yusuf tidak ada episod isteri meminta cerai daripada suami. Isteri al-Aziz, meskipun dia sangat tergoda oleh keelokan paras dan peribadi Nabi Yusuf, kita tidak diberitahu apakah dia pernah meminta cerai daripada suaminya.

Justeru, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran Surah Yusuf, pengarang tidak dibenarkan memperjuangkan nilai-nilai peribadi yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal dalam Islam.

Disebabkan Allah membenci perceraian, maka pengarang sastera Islami tidak dibenarkan meng-OK-kan perceraian dalam karyanya.

.

.