Sunday, December 20, 2009

Dialog Tak Bernilai: Sudut Pandang Surah Yusuf

Daripada 111 ayat dalam surah Yusuf, 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu sekitar 74 peratus. Ini bermakna, dari sudut pandang surah Yusuf, gaya penceritaan yang indah adalah gaya dialog, bukan gaya naratif.

Salah satu unsur yang mencacatkan nilai keindahan pada gaya bercerita adalah terdapatnya dialog-dialog yang melemahkan keindahan cerita disebabkan dialog-dialog itu tidak mempunyai niai cerita.

Dialog yang tidak mempunyai nilai cerita mecipta 3 kesan negatif:

1. Ia melambatkan perkembangan cerita.

2. Dialog-dialog itu membosankan apabila dibaca.

3. Ia menimbulkan persepsi bahawa pengarangnya tidak mempunyai bakat bercerita yang tinggi.

Dialog-dialog yang tidak mempunyai nilai cerita adalah unsur kecacatan pada keindahan karya. Semakin banyak terdapat dialog jenis ini dalam karya, semakin serius kesan kecacatan itu, sehingga pada suatu tahap ia menyebabkan karya itu memperbodohkan pembaca.

Bagaimanakah caranya saudara dapat mengenalpasti dialog-dialog yang tidak mempunyai nilai cerita? Apabila dialog itu selalu dapat didengar dalam percakapan sehari-hari, maka dialog itu adalah bahasa basa-basi yang tidak mempunyai nilai keindahan. Dialog-dialog jenis ini tidak terdapat sama sekali dalam surah Yusuf.

Di bawah adalah contoh petikan dialog-dialog yang tidak mempunyai nilai cerita:

“Assalamualaikum,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) ucap Tuk Guru Dagang, ketua kampung Terus Puri tempat tinggal mereka.

“Waalaikummussalam,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) jawab Pak Kemat sambil berdiri. Ketika itu dia baru sahaja membersihkan sekeliling pokok sayuran yang mereka tanam di tepi rumah mereka. Dengan segera Pak Kemat menghulurkan tangan kepada Tuk Guru Dagang untuk bersalaman.

“Sudah besar pokok yang Pak Kemat tanam ini,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang sambil menunjuk ke arah pokok cili yang berada di hadapan mereka.

“Betul. (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) Hamba bersyukur kerana hasil tanaman hamba menjadi,” balas Pak Kemat.

“Pak Kemat, awak bercakap dengan siapa itu?” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kedengaran suara Mak Senah bertanya dari arah dalam rumah. Mak Senah sedang memasak untuk hidangan tengah hari mereka.

“Saya bercakap dengan Tuk Guru,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) sahut Pak Kemat.

“Oh, Tuk Guru,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah sambil menjengah dari pintu dapur.

“Jemputlah masuk," (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah lagi.

“Jemputlah masuk ke rumah kami,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Pak Kemat mempelawa Tuk Guru Dagang masuk ke rumah mereka.

“Baiklah,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang sambil langkah kakinya mengekori Pak Kemat masuk ke dalam rumah.

“Jemput duduk,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Mak Senah pula sambil membentangkan tikar mengkuang yang baru sahaja selesai dianyamnya kelmarin..

“Terima kasih,” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) kata Tuk Guru Dagang, “hamba sebenarnya ada hajat datang ke sini.”

“Apa yang boleh saya bantu?” (dialog ini tidak mempunyai nilai cerita) tanya Pak Kemat sambil tangannya menyambut dulang yang dihulur oleh Mak Senah.



Surah Yusuf dan Isu SUBJEK dalam Ayat

Banyak penulis mengambil ringan isu SUBJEK dalam ayat. Ini termasuklah penulis yang dilabelkan sebagai penulis novel sastera. Ayat yang tiada SUBJEKnya adalah ciri bahasa lisan, yakni bahasa cakap mulut.

Ia juga bukan gaya bahasa Quran. Dalam Quran, ayat yang tiada SUBJEK terdiri daripada 2 jenis:

(1) Ayat misteri seperti "Alif. Lam. Mim."

(2) Ayat sumpah seperti "Demi masa!"

Dalam surah Yusuf, hanya ada sepotong ayat yang tiada SUBJEKnya, yakni misteri: "Alif. Lam. Raa."

Seluruh surah Yusuf terdiri daripada ayat-ayat yang legkap dengan SUBJEK dan PREDIKATnya. Ini bermakna, Allah menunjukkan bahawa ayat-ayat yang indah adalah ayat-ayat yang mempunyai SUBJEK dan PREDIKAT.

Contoh ayat yang tiada SUBJEKnya adalah: "Kamu adalah anak angkatku sahaja." Zaleha terdiam. Tergamam. Tidak dapat hendak berkata lagi. Teramat terperanjat. Bagaikan tidak percaya.

Penulis yang menulis ayat-ayat tanpa unsur SUBJEK dalam ayat ini bukan hanya datang daripada mereka yang memegang ijazah teknikal, justeru mereka tidak memiliki pengetahuan tatabahasa dan gaya bahasa yang mendalam.

Rupa-rupanya, penulis-penulis yang memegang ijazah linguistik ataupun ijazah sastera juga kerap melakukan kesilapan tatabahasa jenis ini.

Malah, penulis yang memegang ijazah sastera Arab pun ada yang melakukan kesilapan jenis ini, walhalnya mereka mempelajari dengan mendalam unsur-unsur nilai keindahan bahasa Quran.

Banyak penulis terpengaruh oleh gaya penulisan penulis-penulis lain. Disebabkan mereka banyak membaca ayat-ayat tanpa SUBJEK dalam karya-karya penulis lain, lalu apabila mereka menulis, mereka meniru ayat-ayat seperti itu.



Saturday, December 19, 2009

Surah Yusuf: Subjek dalam Dialog

Apabila menuliskan dialog dalam cerita, kita cenderung memasukkan nama orang yang disapa dalam dialog itu. Sebagai contoh, “Osman, kenapa kamu menangis?” ataupun “Apa khabar, Pak Long?” Osman dan Pak Long adalah nama-nama orang yang disapa. Ciri ini tidak terdapat dalam surah Yusuf.

Penulisan dialog dalam surah Yusuf menunjukkan beberapa ciri menarik. Salah satu ciri itu adalah hampir tiada nama orang yang disapa dalam dialog, kecuali dalam dua ayat di bawah:

(a) “Wahai Yusuf! Lupakan sahaja peristiwa ini!....” (ayat 29) Ayat ini diucapkan oleh suami Zulaikha apabila dia melihat sendiri baju Nabi Yusuf koyak di belakang akibat ditarik oleh isterinya.

Dalam ayat ini suami Zulaikha merayu kepada Nabi Yusuf supaya jangan membocorkan rahsia kejadian yang amat memalukan dirinya sebagai suami Zulaikha.

(b) “Wahai Yusuf! Wahai orang yang benar! Terangkan kepada kami makna mimpi....” (ayat 46)

Ayat ini diucapkan oleh bekas rakan banduan Nabi Yusuf yang datang kepada Nabi Yusuf bagi bertanyakan makna mimpi Raja Mesir. Dalam ayat ini belas banduan itu merayu kepada Nabi Yusuf supaya mentafsirkan makna mimpi Raja Mesir.

Berdasarkan surah Yusuf, kita dapat membuat kesimpulan:

1. Dari sudut pandang surah Yusuf, sebutan nama-nama orang yang disapa dalam dialog adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa.

2. Nama-nama orang yang disapa hanya digunakan dalam jenis-jenis ayat rayuan, sebagai contoh, ayat permohonan.

Berikut adalah contoh kesalahan pada penggunaan nama orang yang disapa dalam dialog disebabkan ayat-ayat di bawah bukan ayat rayuan, sebaliknya adalah ayat perbualan biasa.

“Jemputlah masuk, Tuk Guru (SALAH),” kata Mak Senah.

“Betul, Tuk Guru (SALAH). Jemputlah masuk ke rumah kami,” kata Pak Kemat. “Jemput duduk, Tuk (SALAH).”

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH). Hamba sebenarnya ada hajat datang ke sini.”

“Apa yang boleh hamba bantu, Tuk Guru? (SALAH)” tanya Pak Kemat.

“Hamba akan mengadakan majlis perkahwinan anak sulung hamba,” kata Tuk Guru, “hamba berharap sangat Kemat (SALAH) dan Senah (SALAH) dapat menolong apa yang patut.”

“Kalau begitu, tidak jadi masalah, Tuk (SALAH). Kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan setakat yang terdaya,” kata Pak Kemat.

“Bila akan diadakan majlis berkenaan, Tuk? (SALAH)” tanya Pak Kemat lagi.

“Pada bulan hadapan. Hamba harap Pak Kemat (SALAH) dan Mak Senah (SALAH) tidak keberatan,” kata Tuk Guru Dagang lagi.

Tuk Guru (SALAH) jangan risau. Kami akan pergi ke rumah Tuk Guru (SALAH) dua hari lebih awal. Dapatlah kami membantu apa yang patut,” kata Pak Kemat.

“Terima kasih, Kemat (SALAH), Senah (SALAH),” balas Tuk Guru.





Friday, December 18, 2009

Lokasi Surah Yusuf

Sesetengah lokasi dan setting mencipta kesan keindahan yang lebih bagus daripada sesetengah setting yang lain. Justeru saudara perlu memilih setting yang dapat mencipta kesan keindahan bagi novel cinta saudara.

Sesetengah lokasi, apabila difilemkan, setting dan lokasi itu menyebabkan filem itu menjadi lebih cantik.

Kisah cinta yang menggunakan settingnya lokasi seperti pejabat, kedai runcit, bilik darjah, reban ayam, balai polis, stesen teksi, warung kopi, padang bola dan seumpamanya tidak mencipta imej-imej indah dan tidak menimbulkan emosi-emosi indah dan romantis.

Lokasi dan setting dalam kisah surah Yusuf adalah padang pasir, khemah Nabi Yaakub, rumah hartawan al-Aziz, penjara, gudang simpanan makanan, dan istana Raja Mesir.

.

.

Wednesday, December 16, 2009

Cerita: Sudut Pandang Teori Sastera Islam

Berkenaan buku cerita, kita mempunyai mentaliti mundur sekali! Baik sebagai penerbit mahupun sebagai penulis, kita mundur, kita ketinggalan zaman, kita bersalah terhadap remaja!

Dunia buku Melayu mahukan karya yang mempunyai peminat seperti peminat-peminat Tom Clancy dan John Grisham, yang diminati baik oleh remaja awal mahupun dewasa. Karya mereka dibaca oleh kanak-kanak serendah 10 tahun!

Tetapi penulis-penulis Malaysia masih berpegang kepada keyakinan salah, kononnya pembaca remaja adalah pembaca bodoh, oleh itu mereka memerlukan buku-buku yang sesuai dengan kebodohan mereka. (Dengan maaf), mentaliti seperti ini lebih membarah di kalangan penulis dan editor perempuan.

Dari sudut pandang teori sastera Islam sendiri, tidak ada 'Ini cerita untuk remaja' dan 'Ini cerita untuk dewasa'. Cerita-cerita dalam Quran ditujukan kepada semua peringkat umur. Satu cerita untuk semua.

Surah yusuf ditujukan baik kepada remaja mahupun dewasa. Jadi, pemikiran yang mengatakan bahawa buku cerita untuk remaja lain, buku cerita untuk dewasa lain, adalah ditolak oleh teori sastera Islam mazhab surah Yusuf.

Dua orang penulis fiksyen yang paling banyak dibaca oleh remaja Amerika adalah Tom Clancy dan John Grisham. Hanya karya mereka berdua yang pernah dicetak pertama kali sebanyak 2 juta naskhah.

Walaupun buku-buku Tom Clancy dan John Grisham popular di kalangan pembaca remaja, sebenarnya karya mereka ditulis dan dipakejkan untuk dewasa.

Novel-novel Tom Clancy adalah thriller politik, menceritakan secara detail teknik-teknik perisikan, espionaj, dan sains ketenteraan dalam era Perang Dingin Amerika-Soviet, dengan plot yang sangat kompleks. Banyak novelnya sudah diterbitkan sebagai filem dan computer games yang amat popular. (Kebetulan, selepas peristiwa September 11, beliau muncul dalam suatu program TV lalu memeranjatkan masyarakat Amerika apabila beliau membela Islam.) Beliau adalah lulusan sastera Inggeris.


John Grisham adalah penulis Amerika yang paling laris, mengalahkan Tom Clancy. Beliau menulis novel-novel bidang kepeguaman dan undang-undang dengan segala macam skandal yang berlaku dalam proses perbicaraan kriminal, secara yang amat profesional. Novel-novel beliau sudah diterbitkan sebagai filem. Beliau adalah seorang peguam.

Mari kita bertaubat! Zaman 'Ini buku remaja' dan 'Ini buku dewasa' sudah berakhir. Remaja dan dewasa membaca buku-buku cerita yang sama.





Sunday, December 06, 2009

Gambaran Pakaian: Teknik Surah Yusuf

Dalam seni aliran realisme, serba-serbi dilukiskan dan diterangkan dengan terperinci. Baca novel 'Salina' karya SN A. Samad Said, ataupun 'Perempuan Politikus Melayu' karya Faisal Tehrani.

Dalam surah Yusuf, ada beberapa unsur yang tidak diberikan maklumatnya secara langsung. Pakaian watak-watak adalah salah satu unsur itu. Kita tidak diberitahu dengan jelas bagaimana rupa pakaian Nabi Yusuf, Zulaikha dan lain-lain watak.

Dalam surah Yusuf, rujukan tentang pakaian muncul 3 kali:

1. Kali pertama dalam episod abang-abang Nabi Yusuf membawa pulang bajunya yang dilumuri darah serigala lalu ditunjukkan kepada ayah mereka sebagai bukti kononnya Nabi Yusuf mati dimakan serigala. Di sini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat perbuatan berdusta oleh abang-abang Nabi Yusuf.

2. Kali kedua dalam episod Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga koyak. Babak ini memberi gambaran baju Nabi Yusuf menutupi bahagian atas badannya dan bajunya itu dijahit kukuh, tidak mudah terbuka ataupun terlondeh, tidak dibelitkan keliling badannya seperti pakaian orang-orang Yunani zaman Aristotle. Baju itu diperbuat daripada bahan yang mudah koyak, ertinya bukan daripada bahan kuat seperti kulit binatang. Di sini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat membuktikan pendustaan Zulaikha.

3. Rujukan pakaian kali ketiga berlaku pada episod Nabi Yusuf mengirimkan bajunya melalui abang-abangnya supaya diberikan kepada ayahnya, Nabi Yaakub. Walaupun abang-abangnya masih di tengah perjalanan, Nabi Yaakub sudah dapat mencium bau baju Nabi Yusuf. Baju itu kemudian disapukan pada kedua-dua mata Nabi Yaakub yang buta, lalu sembuh. Episod ini memberi gambaran Nabi Yusuf mempunyai lebih daripada sehelai baju, dan bau badan beliau tersangat wangi! Dalam episod ini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat pengubatan penyakit.

Ketiga-tiga rujukan pakaian itu dibuat pada baju watak lelaki, iaitu Nabi Yusuf. Tidak ada sama sekali rujukan pada baju watak perempuan, iaitu Zulaikha.

Adakah ini membayangkan bahawa dalam novel Islami pengarang tidak dibenarkan menerangkan pakaian watak-watak perempuan muda, perempuan cantik, perempuan penggoda, dan perempuan kaya, sebagaimana yang dilambangkan oleh watak Zulaikha? Kita berpandangan, ya, tidak dibenarkan.

Mengapakah hanya dalam 3 peristiwa ini sahaja rujukan pakaian berlaku dalam surah Yusuf, justeru ini adalah suatu unsur yang memerlukan analisis. Ahli-ahli teori sastera Islami perlu mengemukakan teori bagi menerangkan unsur ini.


.

Tuesday, December 01, 2009

Surah Yusuf: Memilih Usia Hero

Dalam surah Yusuf, hero dalam kisah Nabi Yusuf adalah seorang lelaki ideal, dan usianya adalah antara 8 tahun sehingga dewasa.

Ada dua kelebihan hero lelaki muda:

(1) Cerita yang heronya lelaki disukai oleh baik pembaca lelaki mahupun pembaca perempuan. Ertinya pasaran cerita itu lebih luas.

(2) Apabila difilemkan, filem-filem yang heronya lelaki muda lebih laku daripada filem yang heronya lelaki tua. Ini disebabkan oleh profail penonton filem di panggung, di mana majoriti adalah golongan remaja.

Surah Yusuf dan Kritikan Sastera Barat

Para pengkritik sastera daripada aliran Barat lazimnya menolak cara menulis novel yang memasukkan ciri-ciri yang memudahkan sesebuah novel itu diadaptasikan menjadi filem. Malah mereka mengatakan pemikiran yang demikian hanya layak ada pada penulis-penulis novel popular yang karya mereka tidak bertaraf sastera.

Justeru, adalah menjadi prinsip pegangan para pengkritik sastera aliran Barat bahawa novel yang bertaraf sastera tidak selayaknya dihasilkan dengan ingatan novel itu dapat difilemkan dengan mudah dan berkesan.

Bebas daripada mindset kritik sastera aliran Barat, yakni tanpa memikirkan faktor filem sama sekali dalam proses penulisannya, para penulis novel Islami yang menggunakan teknik-teknik penulisan dalam surah Yusuf dengan sendirinya menghasilkan novel yang mudah dituliskan, mudah diadaptasikan bukan hanya ke media filem, malah mudah di-telenovela-kan, mudah dianimasikan, mudah dinovel-grafikkan, mudah dijadikan skrip drama radio, mudah dipentaskan dan mudah di-abridge-kan.

Penulis novel popular bukan Islam memasukkan unsur-unsur adaptasi filem atas dorongan kewangan bagi mempelbagaikan sumber royalti yang mereka terima daripada karya mereka.

Namun, bagi penulis novel Islami aliran surah Yusuf, mereka bukan menulis demi filem mahupun royalti. Mereka juga bukan menulis dengan agenda mahu menghasilkan novel yang bertaraf ’sastera’ ataupun ‘bukan sastera’ ataupun ‘novel popular’.

Mereka menghasilkan novel dengan menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf sebagai ibadah, yakni didorong oleh keyakinan religius mereka bahawa dalam al-Quran itu terdapat sumber teori sastera Islami dan panduan teknik penulisan kreatif.

Sebanyak mana mereka menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf, itu adalah berkait dengan kemahiran dan penguasaan seseorang penulis ke atas teknik-teknik itu.

Jika kritikan sastera aliran Barat nanti mengkategorikan novel-novel Islami aliran surah Yusuf sebagai tidak bernilai sastera disebabkan novel-novel itu mempunyai ciri-ciri yang memudahkan ia difilemkan, maka penilaian mereka bukan endorsement yang dimahukan oleh novelis Islami aliran Surah Yusuf.

Allah jualah yang lebih mengetahui mengapa teknik-teknik penceritaan dalam surah Yusuf itu secara natural menghasilkan novel-novel yang mudah diadaptasikan ke dalam berbagai media.

.

.

Surah Yusuf: Dari Novel ke Filem

Salah satu ciri novel yang ditulis supaya mudah diadaptasikan kepada filem adalah ciri perkembangan plotnya yang laju.

Sesetengah novel perlahan dibaca, manakala sesetengah novel laju dibaca. Novel yang ditulis dengan filem dalam kepala pengarangnya mempunyai ciri laju dibaca, selaju filem ditonton.

Sebagai penulis baru, saudara mungkin bertanya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah novel itu perlahan ataupun cepat dibaca.

Faktor-faktor itu adalah:

1. Dialog lebih laju dibaca daripada naratif.

Semakin banyak dialog, semakin laju novel itu dibaca. Semakin banyak teks naratif, semakin perlahan novel itu dibaca. Kisah Nabi Yusuf disampaikan menggunakan lebih 80% dialog. Ini adalah peratusan yang sangat tinggi.

Semakin banyak dialog dalam novel asal, semakin mudah dialog itu dikekalkan dalam filem.

2. Dialog pendek lebih laju dibaca daripada dialog panjang.

Lebih pendek dialog itu, lebih laju ia dibaca. Dialog yang pendek juga lebih mudah dilakonkan dalam filem. Dalam Surah Yusuf, 50% dialog terdiri daripada dialog 1 ayat.

3. Bukan semua teks naratif perlahan dibaca.

(a) Teks naratif yang dihasilkan oleh pengarang omnipotent adalah lebih perlahan dibaca daripada yang bukan. Istilah ‘omnipotent’ bermakna ‘maha berkuasa’ ataupun ‘maha tahu’. Pengarang omnipotent menggunakan banyak kata sifat (adjectives) dalam naratif.

Teks naratif jenis ini disebut teks TELLING. Teks naratif TELLING sukar diadaptasikan ke dalam filem kerana ia sukar dilakonkan.

Gaya naratif TELLING bukan gaya bahasa surah Yusuf.

(b) Teks naratif yang bersifat SHOWING lebih laju dibaca. Teks jenis ini ditulis oleh pengarang yang tidak bersikap omnipotent. Pengarang bukan omnipotent banyak menggunakan kata nama dan kata kerja (nouns and verbs) dalam naratif.

Teks naratif SHOWING mudah diadaptasikan ke dalam novel kerana ia mudah dilakonkan. Gaya bahasa TELLING adalah gaya bahasa surah Yusuf.

Belajar menulis novel yang mudah difilemkan banyak manfaatnya. Pertama, apabila filem itu menerima sambutan hangat, jualan novelnya naik.

Kedua, mesej murni dalam novel asal dapat disebarkan dengan lebih luas sebab bukan semua orang suka membaca. Banyak orang suka menonton filem dan televisyen.

Ketiga, novel-novel itu membantu perkembangan industri filem yang sihat. Keempat, penulis mendapat dua sumber royalti, daripada buku dan daripada filem.


Unsur Kebetulan dalam Surah Yusuf

Dalam pemikiran pengkritik sastera aliran perdana, unsur kebetulan dianggap unsur kelemahan dalam plot. Unsur kebetulan juga dianggap kelemahan pada cara fikir pengarang, yakni, pengarang yang kurang kreatif dan kurang tinggi IQ-nya sahaja yang terpaksa menggunakan unsur kebetulan bagi menyelesaikan masalah pada plot cerita.

Manakala pemikiran sastera perdana menganggap kebetulan sebagai unsur kecacatan pada karya, teori sastera Islami mazhab surah Yusuf menerima unsur kebetulan sebagai unsur keindahan.

Dalam surah Yusuf terdapat unsur-unsur kebetulan seperti berikut:

a. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada dalam telaga, air telaga itu tidak cukup dalam, jadi beliau tidak mati lemas.

b. Kebetulan, ada kafilah dagang lalu, kemudian salah seorang daripada mereka mencampakkan timba bertali ke dalam telaga sehingga Nabi Yusuf dapat bergantung kepada tali timba itu.

c. Kebetulan, apabila Nabi Yusuf dijual di pasar, yang membelinya adalah al-Aziz, suami Zulaikha.

d. Kebetulan, sebaik-baik Zulaikha mengejar dari belakang dan menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak, tiba-tiba muncul al-Aziz, suaminya, di depan pintu.

e. Kebetulan, sewaktu peristiwa (d) terjadi dan dalam keadaan suaminya amat marah melihat dengan matanya sendiri apa yang berlaku, dan mendengar aduan Zulaikha kononnya Nabi Yusuf cuba mencabulinya, kebetulan ada seorang saksi yang ternampak peristiwa itu dan memberitahu al-Aziz supaya memeriksa apakah baju Nabi Yusuf di bahagian depan ataupun belakang.

f. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada di dalam penjara, Raja Mesir mendapat mimpi luar biasa, yang tidak ada sesiapa dapat mentakbirkan makna mimpi itu.

g. Kebetulan Nabi Yusuf mempunyai kepandaian mentakbir mimpi lalu beliau dibawa berjumpa Raja Mesir.

Tentu sekali bukan semua jenis kebetulan dapat menghasilkan keindahan. Tentu sekali ada jenis-jenis kebetulan yang mencacatkan keindahan karya, yang mencerminkan kelemahan jalan fikir pengarang.

Kita memerlukan analisis lebih mendalam bagi mengkaji apakah ciri-ciri unsur kebetulan dalam surah Yusuf. Dengan analisis itu kita dapat menghasilkan formula mencipta keindahan dalam plot cerita berdasarkan teori sastera Islami mazhab surah Yusuf.




Aliran Realisme: Sudut Pandang Surah Yusuf

Jika saudara penulis muda, baru lepas belajar, barangkali saudara akan bertanya, mazhab dan aliran seni manakah lebih mudah dipelajari dan dipraktikkan bagi menuliskan novel Islami saudara? Mazhab Realisme ataupun Mazhab Surah Yusuf.

Karya-karya yang dianggap oleh sesetengah pengkritik sebagai novel Islami, seperti "Tok Guru" oleh Shahnon Ahmad "Imam" oleh Abdullah Hussain menggunakan teknik realisme.

Apakah ada perbezaan antara aliran realisme dan Mazhab Surah Yusuf? Barangkali mahzab baru digali ini dapat disebut dengan istilah aliran Realisme "Yusufisme".

Dalam Mazhab Surah Yusuf, dari sudut REALITI, produk yang saudara hasilkan mempunyai ciri-ciri surrealistik, yakni macam real, macam tak real. Untuk memahami unsur surrealisme ini saudara dapat lihat pada lukisan-lukisan surreal, dan saudara akan dapati unsur detail dalam lukisan-lukisan itu sengaja dikaburkan ataupun hampir dihilangkan.

Menghasilkan novel dengan menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf menyebabkan dalam sesetengah situasi saudara tidak dibenarkan melukiskan babak itu secara detail, sebagai contoh babak-babak romantis tidak boleh dilukiskan secara detail.

Dalam sesetengah situasi, saudara boleh memberikan gambaran secara detail tetapi lebih baik tidak. Sebagai contoh, kalau saudara mahu saudara boleh memberikan gambaran detail tentang keadaan dalam sesebuah rumah, tetapi lebih baik tidak.

Berbanding dengan aliran Surah Yusuf, dalam aliran Realisme, saudara dikehendaki menghasilkan produk yang REAL, yang betul dari sudut REALITInya. Kalau sesuatu itu bulat, ia mesti digambarkan betul-betul bulat. Kalau lonjong, betul-betul lonjong. Sedikit pun tidak boleh tidak betul dari segi detailnya.

Kita baca kritikan Faisal Tehrani terhadap detail-detail filem “Gila-Gila Pengantin” dalam artikelnya yang berjudul “Naratif Filem Melayu Bangang dan Membangangkan” (Kakiseni.com)

Tulis Faisal Tehrani, .....Kemudian ketidaktelitian pembikin filem sebetulnya menyumbang kepada kebangangan ini. Di dalam Gila-gila Pengantin ada banyak hal pula yang tidak ditelitikan. Saya pohon wang yang banyak itu janganlah dijadikan sesuatu yang cincai sahaja, buatlah filem yang logik. Saya kira kita sebagai penonton pun memang tidak meminta Titanic, Pearl Harbour, Hero, Devdas dari karyawan filem kita, cuma waras sedikit sahaja kalau mahu ‘bercerita’.

Hal-hal tidak teliti ini terserlah jelas. Ambil kira watak Aleya dan Johari di dalam Gila-gila Pengantin ketika berusia tujuh tahun, jika mereka berusia semuda itu, ini bermakna zaman kanak-kanak mereka di dekad awal 80-an. Takkanlah perlu diajar bagaimana reka baju dan pakaian di tahun 80-an, takkan juga perlu diajar bagaimana rupa dan semangat serta mekap dan dandanan rambut tahun 80-an?

Aleya juga menggunakan teksi di waktu malam hujan ribut sesuatu yang saya ketahui memang dielakkan oleh sebahagian besar wanita. Apatah lagi Aleya seorang gadis solo, kaya raya, ibu-bapa juga mewah lagaknya dan menginap seorang diri di sebuah rumah dua tingkat, memiliki laptop malangnya tidak memiliki kereta. Tolonglah bina watak dan perwatakan secara lebih khusus dan cermat.

Johari pula sebagai doktor gigi tidak meyakinkan penampilannya, pakaian dan gayanya tidak menampakkan wibawa seorang doktor gigi. Beliau seorang lelaki yang mempunyai penyakit lelah tetapi boleh pula berlarian mendaki bukit untuk menghalang perkahwinan Aleya dan Harun.

Setahu saya seorang pengarang fiksyen di negara ini tidak sampai boleh diterbitkan bukunya tanpa ditemui terlebih dahulu kecuali di Pustaka Wawasan dalam filem Gila-gila Pengantin.

Penerbit juga belum pernah rasa saya ke rumah penulis tanpa menelefon terlebih dahulu dan memberi sekadar satu naskah cenderamata kepada penulis. Juga majlis autograf dan pelancaran buku kanak-kanak hanya dikerumuni oleh orang dewasa. Jangan beri alasan ia filem komedi. Filem romantik komedi sekalipun mestilah logik dan mengambil kira segala yang kecil-kecil ini kerana yang kecil-kecil beginilah menyumbang kepada kelemahan besar.

Berhentilah buat filem bangang dan membangangkan. Tolonglah menghormati penonton kita. Tolonglah menghormati seni itu sendiri kerana ia satu simbol, lambang dan khazanah peradaban kita. Kita tidak mewariskan produk seni bangang kepada generasi mendatang.

Sayang sekali filem Gila-gila Pengantin tidak teliti disiapkan dan tidak tulen pula, ia sebenarnya sudah cukup menghiburkan dengan Juliana Banos semakin meningkat dan penampilan cameo lebih menyelamatkan aspek lakonan watak-watak utama dan pembantunya.

Pembikin filem tempatan - bukan minta banyak. Minta logik biasa sahaja. Wang, wang juga tetapi minta bertanggungjawablah kepada kerja anda sendiri. Dengan sendiri nanti anda akan belajar bertanggungjawab pula kepada penonton dan masyarakat serta akhirnya bangsa dan negara....." Begitulah antara bunyi petikan daripada tulisan Faisal Tehrani.

Apa yang dikatakan oleh Faisal Tehrani itu, walaupun amat pedas bunyinya bagi kita yang tidak biasa dengan gaya bahasa orang-orang Kakiseni.com, menunjukkan betapa sukarnya berkarya dengan mengamalkan aliran realisme tradisional. Setiap detail mesti betul, mesti tepat. Karya seni dan dunia sebenar mesti betul-betul serupa. Bak kata orang Sepanyol, mahunya peta Sepanyol mesti betul-betul serupa dengan negeri Sepanyol. Monalisa dalam lukisan saling tak tumpah dengan Monalisa orangnya.

Kita kembali kepada isu kita. Konsep 'realiti' dan 'realisme' itu memang mudah difahami, oleh sebab itu kita menyangka ia mudah dipraktikkan bagi tujuan menulis novel. Disebabkan realiti ada di depan kita, tuliskan sahaja apa yang benar-benar berlaku di depan kita itu. Teknik ini seumpama menghasilkan siri TV Realiti, ambil gambar apa yang terjadi dan siarkan sahaja apa yang sebenarnya terjadi.

Sebaliknya, konsep 'Yusufisme' itu tidak ada di depan kita, ia abstrak, maka kita mencipta gambaran bahawa konsep ini sukar difahami, justeru sukar dipraktikkan.

Disebabkan teknik-teknik dalam surah Yusuf itu baru sahaja mula dianalisis, digali dan ditemui, maka kita mencipta persepsi aliran ini sukar dipelajari dan sukar dipraktikkan. Persepsi itu mendorong kita gopoh-gapah menolak mempelajari teknik-teknik dalam aliran Yusufisme, apatah lagi mahu mencubanya. Belum dicuba sudah diambil keputusan teknik-teknik Yusufisme harus ditolak.

Haslisa, Ashadi, Ida Rizyani, Zafran dan Alif Firdaus adalah antara penulis-penulis yang sudah menghasilkan genre sastera Islami dengan menggunakan teknik-teknik surah Yusuf. Bakal menyongsong adalah karya-karya Abd. Latip, Mokhtar, Wan Nan, Nik Faridah, Norehan, Norhalilah, Shahrizan, Chef Zul, Hafez, Faizah, Zalisa, Saripah, E Zainun dan ramai lagi.




Teknik Surah Yusuf: Senarai Semakan

Entri ini khusus untuk mentee-mentee SifuPTS yang ikut serta dalam program penulisan novel jibunsyi:

Ciri-ciri keindahan jibunsyi:

1. Kisah benar dalam sebuah keluarga (Ya) (Tidak)

2. Watak utamanya lelaki (Ya) (Tidak)

3. Watak pembantu utamanya perempuan (Ya) (Tidak)

4. Tempoh ceritanya panjang, sejak watak utama 8 tahun, selama sekurang-kurangnya 20 tahun (Ya) (Tidak)

5. Jumlah wataknya banyak, sekurang-kurangnya 20 orang (Ya) (Tidak)

6. Watak-watak jahat lebih banyak daripada watak-watak baik (Ya) (Tidak)

7. Tidak ada watak jahat yang dihukum, sebaliknya semua watak jahat insaf sendiri (Ya) (Tidak)

8. Terdapat watak-watak daripada pelbagai latar belakang, usia, bangsa dan status dalam masyarakat (Ya) (Tidak)

9. Watak utama ditimpa malang sekurang-kurangnya 5 kali (Ya) (Tidak)

10. Watak utama berkonflik dengan sekurang-kurang 5 pihak lain (Ya) (Tidak)

11. Pada akhir cerita watak utamanya berjaya (Ya) (Tidak)

12. Plot disampaikan secara kronologi (Ya) (Tidak)

13. Bahasa yang digunakan dalam naratif dan dialog adalah Bahasa Tinggi dan bernilai sastera (Ya) (Tidak)

14. Tidak ada bahasa campur-aduk dengan bahasa asing (Ya) (Tidak)

15. Tidak ada bahasa manja, bahasa bayi dan bahasa mesra (Ya) (Tidak)

16. Tidak ada babak percampuran lelaki-perempuan bukan muhrim yang tidak dibenarkan oleh agama seperti majlis tari menari, disko dan seumpamanya (Ya) (Tidak)

17. Tidak ada babak lelaki perempuan berdua-duaan ataupun babak berasmara (Ya) (Tidak)

18. Tidak ada dialog yang menggunakan bahasa kesat (Ya) (Tidak)

19. Tidak ada gambaran tubuh badan lelaki tampan dan perempuan jelita (Ya) (Tidak)

20. Tidak ada deskripsi pakaian lelaki tampan dan perempuan jelita (Ya) (Tidak)

21. Babak-babak mungkar diceritakan dalam dialog, bukan dalam naratif (Ya) (Tidak)

22. Pengarang tidak masuk ke dalam otak dan hati watak-watak (Ya) (Tidak)

23. Kata sifat tidak digunakan dalam naratif, sebaliknya digunakan dalam dialog (Ya) (Tidak)

24. Tidak ada gambaran alam semulajadi (Ya) (Tidak)

25. Tidak ada ukuran-ukuran spesifik (Ya) (Tidak)

26. Tidak ada simbol-simbol kekayaan (Ya) (Tidak)

27. Tidak ada deskripsi detail ruang dalam bangunan (Ya) (Tidak)

28. 30% pekata di depan kata (Ya) (Tidak)

29. 50% dialog terdiri daripada 1 ayat dalam 1 dialog (Ya) (Tidak)

29. Paling kurang 60 episod (Ya) (Tidak)

30. Satu kad satu episod (Ya) (Tidak)

31. Ditulis secara non-linear ikut KJ Method (Ya) (Tidak)

33. DIALOG. ACTION. SETTING (Ya) (Tidak)

Nota: Makin banyak (YA), semakin indah novel saudara.

.

.

Menghasilkan Karya Evergreen Berdasarkan Surah Yusuf

Ramai orang sudah menghasilkan banyak karya, baik novel mahupun komik, tetapi mereka tidak kaya, disebabkan mereka tidak mempunyai banyak HARTA INTELEK, kerana tidak semua karya akhirnya menjadi Harta.

Mencipta karya dan mencipta harta intelek memerlukan cara berfikir yang sangat berbeza. Untuk berkarya, saudara hanya memerlukan idea. Tetapi untuk mencipta harta intelek saudara memerlukan FORMULA IDEA yang berpotensi dapat ditukar menjadi harta intelek.

Apabila saudara berkarya, baik novel mahupun komik, jangan fokuskan fikiran saudara pada “karya” sebaliknya fikirkan “Harta Intelek”. Oleh itu jangan saudara berfikir “Cerita apa aku nak tulis” sebaliknya fikirkan “Harta apa aku nak cipta.”

Ingatlah, kebanyakan karya yang berjaya diterbitkan kekal sebagai karya sahaja. Karya itu tidak diulangcetak tahun demi tahun, tidak dapat diterbitkan semula dalam media lain, tidak dapat diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain, dan macam-macam lagi.

Kisah yang indah adalah batu asas harta intelek yang evergreen, apakah kisah indah itu akan dijadikan novel konvensional ataupun novel grafik, mahupun buku komik panjang.

Apabila cerita novel saudara itu cerita yang elok, dituliskan dengan gaya sastera yang biasa-biasa sahaja pun novel saudara itu berpotensi menjadi evergreen.

Begitu juga apabila stori dalam komik saudara itu bagus, gaya stroke lukisan yang biasa-biasa pun dapat menghasilkan karya grafik yang evergreen.

Apabila saudara menulis sastera Islami, ataupun melukis komik Islami, dengan berpandukan surah Yusuf, cerita saudara itu sebaik-baiknya adalah didasarkan kepada cerita benar kerana seluruh kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah benar. Ini bermakna saudara melakukan kajian sebelum memilih kisah siapa yang hendak saudara novelkan.

Prinsip ini tidak bermakna dalam sastera Islami saudara tidak diizinkan menulis novel berdasarkan imaginasi saudara sahaja, tetapi cerita yang direka-reka tidak dapat menghasilkan kisah yang indah dan evergreen keindahannya.

Prinsip kisah benar ini lebih penting saudara amalkan apabila usia saudara masih muda, belum melepasi 30 tahun, masih belum berkahwin, belum pernah tinggal di luar negara, tidak pernah berniaga, belum pernah bercerai, belum mengalami kematian pasangan, belum pernah masuk ICU, masih menuntut... belum pernah itu ini.

Disebabkan usia saudara yang masih muda, pengalaman saudara masih belum banyak, oleh hal yang demikian imaginasi saudara dihadkan oleh pengalaman yang sedikit. Faktor ini hanya dapat diatasi apabila cerita dalam novel ataupun komik saudara itu adalah berdasarkan kisah benar.